Tak terbawa emosi insiden tegang, kapten Wilayah Persekutuan mahu SUKMA jadi platform tembusi Liga Super


  • Podium
  • Ahad, 25 Ogos 2024

Arif Ilham mempunyai sikap kepimpinan yang baik apabila cukup bijak untuk memastikan pasukan itu tenang dalam aksi tegang. — Instagram/WP

SALAH satu rahsia kemenangan pasukan bola sepak Wilayah Persekutuan ialah ketenangan yang ada pada ketua pasukan, Arif Ilham Mohd Idwan Shah dalam memimpin skuad berkenaan untuk meraih emas bola sepak pertama mereka dalam Sukan Malaysia (Sukma).

Bek tengah Arif Ilham dan rakan seperjuangannya berjuang dengan cemerlang untuk menang 2-1 ke atas Melaka dalam perlawanan tegang dengan pelbagai insiden kontroversi di Stadium Mukah dekat Mukah, Sarawak pada Sabtu.

Ia merupakan penampilan ketiga pasukan berkenaan tetapi kali ini, skuad Wilayah Persekutuan berhasil membawa pulang emas selepas sebelum ini tewas kepada Pahang pada 1994 dan Perak pada 2016.

BACA LAGI: [VIDEO] Main rally panjang, atlet badminton Borneo bagai bersaudara, 'luang masa' di gelanggang SUKMA

BACA LAGI: Shahrul Saad jadi idola, resipi rahsia bek tengah bantu Perak mara ke suku akhir SUKMA

Wilayah Persekutuan bermula dengan agresif sejak awal permainan dan dengan keazaman yang mantap membolehkan mereka menjaringkan gol pertama menerusi Numan Hakim Rahman pada minit ke-18.

Namun, Melaka juga tidak mengangkat bendera putih terlalu awal apabila berhasil menyamakan kedudukan pada separuh masa kedua menerusi jaringan, Mohd Farish Osman pada minit ke-52.

Perlawanan bertambah tegang apabila Melaka kehilangan seorang pemain pada minit ke-60 tetapi Arif Ilham cukup bijak untuk memastikan pasukan itu tenang apabila mereka akhirnya menjaringkan gol kemenangan menerusi Harith Imran Hairee pada minit ke-68.

“Sejujurnya, bukan mudah untuk mengawal emosi kami terutama apabila Melaka kehilangan seorang pemain pada minit ke-60. Saya memberitahu kawan-kawan untuk terus berwaspada dan tidak leka.

“Kami mengekalkan rancangan permainan kami dan apabila kami mempunyai peluang kami mengambilnya. Kami bekerja keras untuk mendapatkan kemenangan berkenaan," kata pemain berusia 21 tahun itu.

Permainan itu dicemari dengan insiden kontroversi apabila apabila pemain Melaka menyerang pengadil perlawanan kerana tidak berpuas hati dengan beberapa keputusan semasa perlawanan.

Tetapi pegawai keselamatan yang bertugas pada perlawanan berkenaan berjaya mengawal keadaan.

“Perlawanan itu tegang. Pemain Melaka memberi reaksi dan pada satu ketika, kami turut beremosi dalam perlawanan berkenaan. Saya memberitahu untuk kekal tenang lagi-lagi aksi final itu ditayangkan di televisyen secara langsung.

“Kami perlu menunjukkan watak yang baik dan sentiasa merendah diri di atas padang kerana masa depan kami boleh terjejas.

"Ini adalah platform untuk kami menarik perhatian kelab lain. Jadi setiap aksi di atas padang, mesti mencerminkan profesionalisme kami," ujarnya.

WhatsApp Image 2024-08-25 at 15.43.54

Kesebelasan utama Wilayah Persekutuan menentang Melaka. — Instagram/WP

Usai tugasan SUKMA selesai, khidmat Arif Ilham akan disambung bersama kelab semasanya Kuala Lumpur II dengan kepakarannya akan digunakan untuk beraksi dalam saingan Piala MFL.

“Saya adalah pemain sayap tetapi tahun lepas, saya mengalami kecederaan lutut yang teruk. Apabila saya kembali ke padang, jurulatih saya meminta saya untuk beraksi sebagai bek tengah.

"Saya percaya jika kita bermain permainan dengan bijak, dan menguasai garis dan ruang dengan baik, kita juga boleh menjadi aset. Saya berharap untuk menembusi pasukan Liga Super suatu hari nanti," jelasnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram