JOHOR Darul Ta'zim (JDT) terus membuktikan reputasi mereka sebagai kelab bola sepak terbaik tanah air apabila tiada masalah untuk membelasah Selangor FC dengan jurang besar 6-1 dalam pentas final Piala FA pada Sabtu.
Pada aksi final yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur itu menyaksikan Harimau Selatan meraih kemenangan menerusi hatrik Juan Muniz dan tiga lagi gol masing-masing dicetak oleh Arif Aiman Hanapi, Bergson serta Heberty.
Manakala, Selangor FC yang dijangka akan memberi saingan sengit kepada juara bertahan Piala FA itu sekadar membawa pulang gol sagu hati hasil penyudah pemain import, Alvin Fortes pada minit ke-59.
BACA LAGI: Antara dua darjat, Selangor tak mampu kekang JDT hatrik Piala FA, julang trofi diiktiraf
Keputusan tersebut menyaksikan JDT menjadi pasukan pertama menjuarai Piala FA buat kali ketiga berturut-turut. Selangor pula masih meneruskan kemarau trofi domestik mereka yang kali terakhir dimenangi menerusi Piala Malaysia edisi 2015.
Bukan final namanya jika insiden kontroversi tidak berlaku dengan kejadian pertama menyaksikan Fazly Mazlan dilayangkan kad kuning seawal minit kedua permainan selepas pengadil, Nazmi Nasaruddin mengesan bek Selangor itu mengasari Bergson da Silva.
Insiden kekasaran terus menghangatkan perlawanan yang dihadiri 80,350 ribu penyokong itu sehingga wisel penamat dibunyikan tetapi ada juga beberapa isu disambung menjadi topik 'post mortem' peminat bola sepak tanah air.
Misalnya, klip rakaman menyaksikan bek tengah Harimau Selatan iaitu Feroz Baharudin menolak kepala penyerang import Selangor, Ronnie Fernandez namun tiada sebarang tindakan diambil oleh pengadil bertugas.
Pemain Selangor FC Safuwan melakukan kekerasan terhadap Heberty pemain JDT, sebarang kad tidak dilayangkan, betul² anak emas Selangor ni. pic.twitter.com/77c3Q33Trk
— Harimau Selatan X (@hsxofficials) August 24, 2024
Perkara berkenaan dianggap seolah-olah tidak menyebelahi nasib Gergasi Merah dan sesetengah penyokong domestik juga menganggap Feroz sepatutnya dilayangkan kad kuning sebagai hukuman.
Namun, untuk mempersoalkan kerja pihak pengadil adalah seperti mempersoalkan urusan takdir apabila pegawai perlawanan juga dilihat melakukan perkara sama pada insiden membabitkan Safuwan Baharudin dan Heberty.
Dari kaca mata penyokong, ketua pasukan Selangor berkenaan dilihat melakukan terjahan keras sebanyak dua kali ke atas pemain import Brazil itu namun tiada juga sebarang kad dilayangkan.
Oleh itu, untuk bercakap mengenai kualiti mutu pengadilan adalah tidak wajar kerana dengan perlawanan penuh tekanan itu, tidak semua akan mendapat layanan seperti yang diinginkan peminat pasukan masing-masing. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram