PASANGAN beregu badminton lelaki tanah air, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menamatkan perjalanan indah pada Terbuka Jepun di Yokohama Arena dekat Yokohama, Jepun apabila dinobatkan juara pada Ahad, sekali gus menamatkan penantian negara selama 22 tahun di kejohanan itu.
Sze Fei-Izzuddin yang juga merupakan wakil tunggal Malaysia di pusingan final Terbuka Jepun menewaskan juara dunia dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae menerusi kemenangan straight set 21-19, 21-15.
Set pertama menyaksikan pasangan nombor 12 dunia itu saling menguji kemampuan juara dunia itu, mengutip mata demi mata sehingga mereka terikat 18-18.
BACA LAGI: Zii Jia-Antonsen sering berlatih bersama, siapa buat silap akan tewas — legenda badminton negara
BACA LAGI: Lee Zii Jia mudah atasi wakil tuan rumah, Anders Antonsen menanti di suku akhir
Sze Fei-Izzuddin akhirnya berjaya menemui ruang untuk mendahului 20-18 sebelum menang set pertama 21-19 dalam pertembungan yang melewati 21 minit berkenaan.
Kemenangan pada set pertama itu jelas meningkatkan moral pasangan beregu negara apabila langsung tidak memberikan peluang buat pemain lawan untuk melakukan serangan sebelum memastikan gelaran menjadi milik mereka menerusi kemenangan 21-15.
Kejayaan pertama Sze Fei-Izzuddin pada musim ini bertambah manis apabila membawa pulang ASD62,900 (RM275,226) dengan ia wang kemenangan terbesar mereka setakat ini.
Sze-Fei (kiri) dan Izzuddin meraih kejuaraan sulung musim ini selepas memenangi Terbuka Jepun pada Ahad. — Agensi
Difahamkan, ia adalah kemenangan pertama mereka dalam tempoh hampir setahun selepas kali terakhir meraih gelaran pada kejohanan Abu Dhabi Masters yang berlangsung Oktober tahun lalu.
Dalam pada itu, ia juga merupakan kemenangan pertama pasangan tersebut selepas mereka mengesahkan akan bergerak sebagai pemain profesional mulai 1 September ini apabila memutuskan untuk meninggalkan Persatuan badminton Malaysia (BAM) baru-baru ini.
Walaupun keputusan meninggalkan badan induk itu dipersoalkan susulan kebimbangan mengenai hala tuju dan prestasi mereka namun dengan kemenangan Terbuka Jepun itu, sedikit sebanyak membuka mata bahawa Sze Fei-Izzuddin mampu bergerak secara profesional seperti Lee Zii Jia. — The Star/K.M. BOOPATHY
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram