[VIDEO] Atlet 16 tahun gemparkan dunia pecah rekod acara pecut di Australia, mula disebut persis Usain Bolt


  • Podium
  • Sabtu, 24 Ogos 2024

Gout Gout terus memecahkan pelbagai rekod larian meskipun usianya baru sahaja mencecah 16 tahun. — Agensi

SEORANG pelari pecut dari Australia sudah mula disebut-sebut sebagai penyambung kepada legasi Usain Bolt dalam acara pecut lelaki selepas klipnya mula tular di media sosial.

Gout Gout yang baru-baru ini bersaing dalam kejohanan trek dan olahraga bawah 18 tahun di negara kelahirannya mencatatkan masa 20.87 saat untuk memenangi perlumbaan 200 meter (m).

Catatan tersebut menyaksikan atlet berusia 16 tahun itu memperbaharui rekod di Australia untuk kategori usia terbabit dengan perbezaan 0.03 saat yang pernah dicatatkan Darren Clark, Paul Greene dan Zane Branco.

BACA LAGI: SUKMA 2024: Pelari pecut Selangor raih emas, pecahkan rekod 16 tahun

BACA LAGI: Terpaksa lupakan Olimpik lebih awal, pemenang emas 100m pecut lelaki sah positif Covid-19

Tetapi, apa yang lebih menarik adalah apabila Gout hampir menyaingi rekod peribadi terbaik Usain Bolt yang memerlukan 19.19 saat untuk menamatkan larian 200m pada 2009.

Ini sekali gus membuktikan bahawa pelari berdarah kacukan Australia-Sudan itu mempunyai masa depan cerah untuk menjadi seorang raja pecut pada masa akan datang.

Malah, dalam klip yang pernah tular pada awal tahun lalu, Gout mencatatkan masa 10.2 saat untuk meninggalkan lawannya dalam kategori 100m lelaki.

Potensi ditunjukkan atlet muda itu menerima perhatian bekas peserta Olimpik dari Australia, Jane Flemming yang berasakan masa depan pelari muda itu amat cerah.

WhatsApp Image 2024-08-24 at 11.19.37 AM

Usain Bolt merupakan seorang legenda dalam dunia pecut. Agensi

"Terdapat seorang pelari pecut berusia 16 tahun dari Queensland yang dikenali sebagai Gout Gout yang mana saya lihat gaya lariannya tidak ubah seperti Usain Bolt.

"Dia sudah memecahkan rekod kebangsaan bagi kategori bawah 18 tahun dan usianya baru sahaja mencecah 16 tahun. Anda boleh cari namanya di Internet dan lihatlah lariannya," kata Flemming.

Pujian itu sudah tentu membuktikan Gout mempunyai bakat besar dalam dunia olahraga dan mempunyai keupayaan untuk mewakili Australia di temasya Olimpik.

Bagaimanapun, sekiranya dia mahu berdiri sebaris dengan legenda larian pecut seperti Usain Bolt, masih terdapat pelbagai liku-liku yang perlu ditempuhinya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram