DALAM tempoh dua musim, Terengganu FC menjadi antara pasukan teratas Liga Super yang meletakkan kepercayaan penuh terhadap pemain kebangsaan untuk beraksi dalam barisan pertahanan.
Gandingan Shahrul Nizam Ros Hasni dan Safwan Mazlan sebagai bek tengah dan Azam Azmi Murad serta Alif Zakaria di posisi pertahanan sayap kerap menjadi pilihan utama ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner.
Meskipun sering memberikan hasil terbaik, penyokong masih memasang cita-cita untuk menyaksikan kehadiran pemain import yang memiliki kelebihan dari segi fizikal dan pengalaman.
BACA LAGI: VAR minit akhir 'ragut' kebangkitan Terengganu elak dimalukan kelab Kemboja
BACA LAGI: [VIDEO] Jaring 102 gol sepanjang karier antara pro-kontra Nelson Bonilla sertai Terengganu FC
Diakite merupakan watak utama buat skuad Sang Penyu pada musim 2022. — Facebook/Terengganu FC
Melihat kepada situasi musim ini, skuad Sang Penyu tidak memiliki pilihan ideal di posisi itu dengan Matthew Steenvoorden yang dibawa masuk pada jendela perpindahan lalu tidak membawa perubahan ketara setiap kali diturunkan.
Pada saingan Liga Super 2023 pula, kelab Pantai Timur berkenaan memilih untuk menggunakan khidmat pertahanan dari Uzbekistan, Sardor Qulmatov, namun sering diketepikan pemain lokal.
Jadi, untuk menyelesaikan perkara itu, penyokong pasukan tersebut mengutarakan nama bek kelahiran Senegal, Pape Diakite yang beraksi buat pasukan berkenaan pada 2022, iaitu ketika musim terakhir Nafuzi Zain di kelab itu.
Pemain tinggi lampai yang mahir membaca permainan tersebut sering menghasilkan persembahan terbaik, lebih-lebih lagi sekiranya diletakkan bersama Shahrul Nizam dalam barisan pertahanan.
Tetapi, perubahan staf kejurulatihan menyaksikan kontrak pemain itu tidak disambung, sekali gus menyaksikannya meluangkan masa hanya setahun buat Terengganu FC.
Bagaimanapun, dengan skuad Sang Penyu bercita-cita besar musim ini, mereka memerlukan seorang pertahanan import kental dengan Diakite merupakan pilihan utama penyokong.
Namun, harapan itu tidak dapat direalisasikan selepas baru-baru ini, pemain berusia 31 tahun berkenaan diumumkan sudah disambar kelab India, Calicut FC yang beraksi di Liga Super Kerala.
Dalam satu video perasmian pada Selasa, bek tinggi lampai itu kelihatan tiba di negara Asia tersebut sebelum tersenyum di samping wakil pasukan itu.
Kelab bimbingan Ian Gillan tersebut menjadi pasukan terbaru disertai Diakite selepas beraksi di Hoang Anh Gia Lai dalam liga Vietnam pada 2023, iaitu setelah meninggalkan Terengganu FC.
Pengumuman itu sekali gus menutup ruang buat skuad Sang Penyu menyaksikan kelibatnya buat kali kedua dengan mereka perlu berharap akan keserasian pemain lokal dalam barisan pertahanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram