[VIDEO] Tomi dedah punca Sang Penyu tunduk kepada Svay Rieng


  • Podium
  • Khamis, 22 Ogos 2024

Sebahagian aksi ketika pasukan Svay Rieng cuba menyekat jentera serangan Sang Penyu saingan Piala Shopee 2024/25. — Facebook/TFC

TERENGGANU FC (TFC) membuka aksi pertama Kumpulan A saingan ASEAN Club Championship (ACC) Piala Shopee 2024/25 dengan langkah kiri apabila tewas 2-3 di tangan wakil kelab Kemboja, Svay Rieng FC pada Rabu.

Pengendalinya, Tomislav Steinbruckner mengakui kekurangan keyakinan dalam kalangan pemain membawa kepada kekalahan dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Terengganu.

Meskipun dilabel pasukan pilihan, Sang Penyu tergamam apabila ketinggalan dua gol pada separuh masa pertama menerusi jaringan Gabriel Silva dan Pablo Augusto.

BACA LAGI: Tak sepadu Ramon, peledak baharu Sabah FC diharap tak senasib Embalo

BACA LAGI: Bekas pemain JDT mahu final Piala FA jadi landasan erat hubungan baik penyokong

WhatsApp Image 2024-08-22 at 10.58.49

Safawi Rasid (jersi putih) membantu Sang Penyu meledak satu gol. — Facebook/TFC

Enggan mengecewakan penonton yang hadir, Terengganu dilihat menggandakan usaha untuk merapatkan jurang pada separuh masa kedua dan ia berhasil selepas dua gol berjaya disumbangkan oleh Manuel Ott dan Safawi Rasid.

Meskipun berjaya mengikat pasukan pelawat namun gol ketiga The Blue Saber menerusi Min Ratanak memastikan Svay Rien meraih tiga mata penuh.

Steinbruckner juga menyifatkan mutu permainan yang dipamerkan wakil Kemboja itu terutama pada separuh masa pertama menjejaskan keyakinan skuad Peteh.

“Mereka jaringkan dua gol pada separuh masa pertama. Kesilapan besar terutama membabitkan gol kedua.

“Mereka menghantar bola kepada penyerang, Pablo Augusto, mencipta beberapa peluang baik pada separuh masa pertama.

"Kita nampak teruk, kita kelihatan bermain tanpa keyakinan dan identiti,” katanya dalam sidang media pasca-perlawanan Terengganu-Svay Rieng yang disiarkan di TFC TV.

WhatsApp Image 2024-08-22 at 10.58.49 (1)

Pertahanan TFC, Azam Azmi Murad kecewa dengan kekalahan 2-3 itu. — Facebook/TFC

Menurut Steinbruckner, kebangkitan yang dipamerkan Terengganu pada separuh masa kedua tidak cukup untuk menghalang The Blue Saber daripada meraih kemenangan.

“Separuh masa kedua saya sedikit berpuas hati kerana kita bermain dengan lebih baik. Kita dapat menekan, kita menjaringkan dua gol dalam beberapa situasi.

"Tetapi gol ketiga berlaku disebabkan kesilapan membuat hantaran dan kita kehilangan bola untuk yang ketiga.

“Walau bagaimanapun, kita kelihatan tidak bagus dan tiada siapa boleh berpuas hati dengannya. Ini bukan mudah tetapi inilah bola sepak,” ujarnya.

Selepas ini, Terengganu bakal berdepan wakil Vietnam, Thanh Hoa untuk aksi kedua Kumpulan A pada 25 September nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram