Kerajaan Kelantan nafi abai kebajikan atlet bola sepak SUKMA, perjelas isu tiada pakaian rasmi


  • Podium
  • Khamis, 22 Ogos 2024

Foto yang tular di media sosial memaparkan pemain bola sepak SUKMA dari Kelantan tidak memakai pakaian rasmi ketika menikmati juadah.

KERAJAAN negeri Kelantan menafikan dakwaan bahawa mereka mengabaikan kebajikan pasukan bola sepak yang bersaing dalam Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Perpaduan Masyarakat Kelantan, Zamakhshari Muhamad berkata, kesemua perbelanjaan pasukan itu ditanggung Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) kerana ia diletakkan di bawah Kategori C.

Menurutnya, kesemua tiga pasukan yang berada di bawah kategori masing-masing diselia Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan dengan pasukan yang berada di Kategori C diuruskan sepenuhnya oleh pasukan itu sendiri.

BACA LAGI: [VIDEO] Gara-gara tak puas hati dengan juri, gelanggang silat SUKMA kecoh dibaling botol

BACA LAGI: [VIDEO] Rejaman tajam, Sumandak Sabah sumbang 3 emas di SUKMA

WhatsApp Image 2024-08-22 at 1.12.09 PM

Zamakhshari menfaikan dakwaan orang ramai terhadap skuad bola sepak negeri di SUKMA 2024. LinkedIn/Zamakhshari Muhamad

"Jadi, sebenarnya tiada isu yang kami mengabaikan mereka. Malah, kami juga sudah menyediakan pakaian rasmi pasukan, tetapi mereka berlepas ke Sarawak lebih awal kerana ada aksi Piala Presiden di Sabah.

"Itulah sebabnya mereka tidak mempunyai masa mencukupi untuk mendapatkan pakaian disediakan, jadi mereka memakai jersi sendiri," katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial apabila orang ramai melabel pasukan bola sepak Kelantan terabai di SUKMA dengan tiada elaun, pakaian rasmi atau sebarang bentuk bantuan lain.

Bagaimanapun, kekurangan itu tidak menghalang mereka daripada mencipta kejutan ke atas Johor Darul Ta'zim (JDT) II dengan keputusan 3-1 di pusingan suku akhir.

kelate-1

Pasukan bola sepak Kelantan di SUKMA dengan pakaian rasmi mereka.

Zamakhshari turut berkata, pengurus Kelantan FA, Datuk Azmi Ariffin sudah mengeluarkan kenyataan berhubung kekeliruan itu dan turut menafikan dakwaan orang ramai.

"Menurut Datuk Azmi, pakaian bercampur aduk yang disarung pemain adalah disebabkan pakaian rasmi mereka sedang dihantar ke lobi ketika itu.

"Dia turut mengatakan kebajikan pemain dan staf pengurusan diuruskan, elaun diberikan setiap kali mereka meraih kemenangan pada SUKMA dan kelengkapan disediakan dalam setiap perlawanan," katanya.

Bagaimanapun, tambah Azmi, kerajaan negeri hanya akan memulangkan semula perbelanjaan kepada Kelantan FA sekiranya mereka membawa pulang pingat emas dan sebahagian sahaja dapat dimohon sekiranya meraih perak atau gangsa. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram