KEM Kedah Darul Aman (KDA) FC bertiup kencang apabila dikhabarkan bakal kehilangan khidmat penjaga gol utamanya, Kalamullah Al-Hafiz dalam jendela perpindahan akan datang.
Ia berikutan selepas kelab penyokong Kedah Borneo Fans Club mendedahkan bahawa penjaga gawang berusia 29 itu sudah bersedia untuk angkat kaki.
Kalamullah sebelum ini menyertai KDA FC daripada Petaling Jaya City FC pada penghujung 2022.
BACA LAGI: Jika JDT 'buka kedai', Negeri Sembilan dan 2 kelab Pantai Timur jangan lagi buang masa
BACA LAGI: [VIDEO] Rejaman tajam, Sumandak Sabah sumbang 3 emas di SUKMA
Bagaimanapun, destinasi seterusnya penjaga gawang berusia 29 tahun itu belum dapat dipastikan.
Susulan khabar angin tersebut, terdapat beberapa kelab Liga Malaysia (Liga M) yang dilihat berpeluang untuk menyambar penjaga gol Sang Kenari tersebut menjelang jendela perpindahan kedua.
Dalam pada itu, Majoriti menyenaraikan tiga kelab tanah air yang perlu memanfaatkan peluang itu untuk memperbaiki kedudukan dalam Liga Super.
Kalamullah (jersi putih) dikhabarkan bakal meninggalkan kem Sang Kenari menjelang jendela perpindahan kedua liga. — Facebook/KDAFC
1) Sabah FC
Sabah FC kini dilihat amat memerlukan seseorang yang boleh mengisi kekosongan sebagai benteng akhir pasukan.
Sang Badak ketika ini sering menggunakan khidmat penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat selepas 10 perlawanan Liga M.
Malah, ketiadaan penjaga gol kedua, Damien Lim yang kini bergelut dengan kecederaan menambah luka buat Sabah yang kini hanya bergantung kepada bekas tonggak Kelantan FC itu.
Dengan khabar angin yang kini bertebaran di media sosial itu, pengendali The Rhinos, Datuk Ong Kim Swee perlu bertindak segera untuk menyambar Kalamullah.
Kalamullah sebelum ini menyertai KDA FC daripada Petaling Jaya City FC pada penghujung 2022. — Facebook/KDAFC
2) Negeri Sembilan FC
Negeri Sembilan FC antara pasukan Liga M yang turut berdepan nasib sama apabila benteng akhir menjadi punca kelab itu mudah ditembusi.
Penjaga gol skuad Jang, Aqil Razak merupakan individu yang sering diberi kepercayaan untuk menjaga gawang pasukan itu.
Begitupun, kecekapannya menjaga pintu gawang dipertikaikan kerana setakat lapan perlawanan liga, pasukan itu merekodkan jumlah bolos tertinggi iaitu 19 gol.
Dalam pada itu, dengan pengalaman yang ada pada Kalamullah, sudah pasti dia akan membantu menyelesaikan masalah pasukan tersebut.
3) Kelantan Darul Naim FC
Kelantan Darul Naim FC antara kelab tempatan yang wajar menyambar khidmat Kalamullah ketika ini.
Menghuni tangga tercorot liga ketika ini, sudah pasti Kelantan memerlukan ramuan baharu bagi memperbaiki kedudukan dalam liga.
Dalam pada itu, ia adalah masa sesuai untuk skuad Kijang Emas itu menyambut kehadiran Kalamullah sebagai penjaga gol utama pasukan.
Kalamullah dilihat berpeluang untuk memperbaiki prestasinya yang sekali gus membantu benteng akhir Kelantan sekiranya menyertai kelab tersebut.
Setakat lapan perlawanan liga, Kelantan sudahpun merekodkan 18 bolos. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram