TANPA membuat penampilan dalam sebarang perlawanan musim ini, pemain sayap Terengganu FC (TFC) iaitu Hakimi Abdullah difahamkan bakal meninggalkan skuad Sang Penyu pada jendela perpindahan kedua nanti.
Walaupun kenyataan rasmi tidak dikeluarkan lagi oleh pasukan Terengganu namun pemain sayap kiri berkenaan sudah memuat naik ucapan selamat tinggal kepada penyokong dan rakan sepasukannya.
Ucapan selamat tinggal yang bertulis 'untuk yang terakhir dalam skuad, selamat tinggal TFC ada rezeki jumpa lagi', itu dimuat naik oleh Hakimi menerusi Insta Story miliknya pada Rabu.
BACA LAGI: Pau Marti kekal resipi Kim Pan-gon, rahsiakan taktikal Harimau Malaya untuk Pestabola Merdeka 2024
BACA LAGI: [VIDEO] Jaring 102 gol sepanjang karier antara pro-kontra Nelson Bonilla sertai Terengganu FC
Selain hantaran berkenaan, rakan sepasukannya juga memberi ucapan selamat tinggal kepada pemain berusia 24 tahun itu dan mereka turut mendoakan agar Hakimi terus menyinar bersama pasukan baharunya.
Meskipun Hakimi tidak mendedahkan identiti majikan baharunya namun nama beberapa kelab seperti Kedah Darul Aman (KDA) FC dan pasukan Lembah Klang iaitu PDRM FC diduga akan menjadi pasukan baharu pemain berkenaan.
Kedah dianggap menjadi pasukan sesuai untuk menggunakan khidmat Hakimi dengan pengendalinya sebelum ini, Nafuzi Zain sering memberi kepercayaan kepada anak jati Kelantan itu untuk menjadi 'super sub'.
Tangkap layar Insta Story Hakimi Abdullah.
Ketika Nafuzi mengendali Terengganu pada musim 2022, Hakimi berhasil membalas kepercayaan jurulatih itu dengan mencetak tiga gol dan dua hantaran bantuan dalam sembilan aksi dia diturunkan.
Jika dilihat berdasarkan statistik perlawanan sejak 2021, musim terbaik Hakimi bersama TFC adalah pada tahun pertamanya apabila dia diberikan peluang beraksi dalam 21 perlawanan Liga Super, selain mencetak lima jaringan gol dan satu hantaran bantuan.
Hakimi juga mencatat sejarah indah dalam bola sepak Terengganu apabila hasil gol tunggalnya meleburkan rekod tanpa kalah Johor Darul Ta'zim (JDT) di saingan Liga Super musim 2021.
Hakimi menyertai Terengganu sejak musim 2021. — Facebook/TFC
Jaringan pemain sayap kiri itu membantu skuad Sang Penyu menewaskan Harimau Selatan dengan keputusan 1-0 di Stadium Sultan Ibrahim dan ia adalah kekalahan pertama yang direkodkan di laman JDT.
Namun, sejak dua musim kebelakangan ini, Hakimi semakin jarang dilihat tersenarai dalam kesebelasan utama Terengganu dan kali terakhir beraksi adalah ketika berjumpa Kuching City pada aksi Liga Super tahun lepas. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram