[VIDEO] Habib Haroon, Giancarlo Gallifuoco antara 4 pemain ada potensi dapat lesen naturalisasi musim depan


  • Podium
  • Isnin, 19 Ogos 2024

Habib akan melengkapkan musim yang kelima dalam Liga Super jika kekal beraksi pada tahun depan.

TAHUN depan pastinya arena bola sepak negara akan dipenuhi dengan lambakan pemain naturalisasi baharu apabila empat import dijangka mendapat status tersebut selepas lebih lima tahun berkelana di negara ini.

Sebelum ini sudah ada beberapa pemain import Liga Super mendapat status naturalisasi dengan ada yang mewakili Harimau Malaya.

Antara pemain naturalisasi yang menunjukkan hasil baik ialah Lee Andrew Tuck, Sergio Fabian Aguero, Paulo Josue Reis dan Endrick dos Santos.

BACA LAGI: Habib Haroon tinggalkan Kedah? Bekas penyerang 'usik' Sang Kenari minta dihubungi

BACA LAGI: Sabah guna khidmat import Jepun, sambar 2 tonggak kebangsaan perkuat pasukan ke Asia

Manakala Liridon Krasniqi, Mohamadou Sumareh dan Guilherme de Paula kini malap daripada skuad Harimau Malaya.

Majoriti senaraikan empat pemain import dijangka mendapat status naturalisasi pada musim depan selepas cukup lima tahun beraksi di negara ini:

1. Rafael Vitor (Penang FC)

Rafael Vitor merupakan ketua pasukan Penang musim ini dengan dia berpotensi untuk dinaturalisasikan pada Januari 2025.

Hadir ke Penang sejak Januari 2020, Rafael Vitor menjadi nadi utama bagi posisi pertahanan tengah pasukan Penang.

Rafael bakal menginjak ke usia 32 tahun pada 2025 dan ia mungkin umur yang sesuai buat pemain kelahiran Brazil itu mewakili skuad Harimau Malaya.

2. Jordan Mintah (Kuching City FC)

Penyerang Kuching City mungkin menjadi prospek naturalisasi pada 2025 selepas lima tahun beraksi di Malaysia sejak Januari 2020.

Musim ini menyaksikan Mintah telah meledak empat jaringan daripada 10 penampilannya buat Kuching City.

Baru berusia 28 tahun, pemain kelahiran Ghana ini memulakan kariernya bersama Terengganu FC pada Januari 2020 sebelum dipinjamkan ke Kuala Lumpur City FC dua tahun berikutnya.

Mintah kembali ke Terengganu pada penghujung musim 2022 dan berhijrah ke Kuching City awal musim ini.

3. Habib Haroon (Kedah Darul Aman FC)

Pemain import Kedah, Habib Haroon akan melengkapkan lima tahun beraksi dalam Liga Malaysia musim depan.

Mula beraksi dalam kancah Liga Super pada 2021, Habib akan menjadi aset penting untuk skuad kebangsaan jika dia menjadi jeneral tengah Harimau Malaya.

Baru berusia 25 tahun pada musim depan, Habib boleh menjadi aset jangka panjang buat skuad kebangsaan dan kelab Liga Super.

4. Giancarlo Gallifuoco (KL City FC)

Selepas tiba di Kuala Lumpur (KL) City FC pada 2021, pemain kelahiran Australia, Giancarlo Gallifuoco terus menjadi salah seorang import terbaik dalam Liga Super.

Ketinggiannya yang mencecah 1.87 meter (m) sudah cukup untuk memberikannya kelebihan dari segi fizikal bagi bersaing dengan penyerang-penyerang lawan.

Malah, Giancarlo juga dikatakan memiliki kepantasan dalam mendapatkan semula bola daripada pihak lawan dengan ia merupakan satu kelebihan buatnya.

Kehadirannya juga membolehkan skuad Warga Kota mencatatkan sejarah tersendiri apabila dia membantu mereka muncul juara dalam Piala Malaysia 2021. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram