Dua pemain kebangsaan tak cukup, Sabah 'seru' peledak Myanmar demi ACL


  • Podium
  • Ahad, 18 Ogos 2024

Intan Serah dan Steffi dipinjamkan daripada Kelana United untuk saingan Liga Juara-Juara Wanita Konfederasi Bola Sepak Asia 2024. — Instagram/Intanserah

PERSEDIAAN pasukan bola sepak wanita Sabah FA untuk pusingan kelayakan Liga Juara-Juara Wanita Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) (ACLW) 2024 pada 25 hingga 31 Ogos depan sememangnya wajar mendapat pujian.

Juara Liga Wanita Nasional (LWN) 2023 berkenaan menjadi satu-satunya wakil tunggal negara pertama yang membawa cabaran tersebut ke pentas Asia dengan ia merupakan kali pertama pertandingan itu ditubuhkan oleh pihak AFC.

Tidak ingin sekadar menjadi pelengkap jadual dalam pusingan kelayakan, pasukan Sabah dilihat rancak membawa masuk beberapa pemain baharu termasuk bintang import berkualiti bagi kejohanan tertinggi Asia berkenaan.

BACA LAGI: Demi misi takluk Asia, Sabah 'sign' bek kental Selangor

BACA LAGI: Skuad wanita Sabah dah tahap JDT, The Rhinos masih terkial-kial selesai isu gaji

Sebelum ini dilaporkan, skuad The Rhinos wanita itu mengumumkan ketibaan dua pemain kebangsaan iaitu Intan Sarah Anisah Zulgafli dan Steffi Sarge Kaur yang dipinjamkan daripada Kelana United bagi memperkuatkan bahagian serangan serta pertahanan pasukan.

Ketika menyarung jersi MBSJ FC, Intan Sarah atau lebih mesra dengan sapaan Intan Serah sebelum ini merupakan penjaring terbanyak buat kejuaraan Liga Super Wanita Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dengan 19 gol.

Manakala, Steffi pula bukan nama asing lagi dalam dunia bola sepak tempatan susulan dia merupakan ketua pasukan skuad kebangsaan dan dia pastinya membawa kualiti kepimpinan untuk Sabah bagi saingan ACLW berkenaan.

Kehadiran dua pemain kebangsaan berkenaan bagaimanapun masih belum memuaskan hati Sabah FA apabila mengesahkan pemain import terbaharu yang diterbangkan dari Myanmar iaitu Win Theingi Tun.

Nama Theingi Tun mungkin agak asing dalam kalangan peminat bola sepak domestik namun pemain itu merupakan penjaring terbanyak semasa Liga Wanita Myanmar serta Liga Wanita India.

Pengumuman itu dibuat secara rasmi oleh media rasmi pasukan wanita Sabah FA pada Sabtu.

“Berada di kedudukan ke-18 dalam kalangan penjaring gol bola sepak wanita antarabangsa terbanyak mengikut negara, Win membawa banyak pengalaman dan kemahiran kepada skuad ini.

“Sebagai penjaring terbanyak sepanjang masa Liga Wanita Myanmar dan Liga Wanita India, Win pasti memberi banyak Variasi kepada bahagian serangan,” memetik kenyataan pada Facebook rasmi Sabah FA.

Pemain berusia 29 tahun itu merupakan import ketiga Sabah selepas merekrut dua pemain import dari Jepun iaitu Misaki Nakayama dan Eri Narita bagi memberikan variasi lain dalam corak permainan buat skuad kendalian Justin Ganai. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram