Penyokong setuju Nafuzi tukar Milos Gordic lepas Faye padam hasrat kebangkitan Kedah


  • Podium
  • Sabtu, 17 Ogos 2024

Kedah dan Negeri Sembilan berkongsi satu mata selepas kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan 2-2 di Stadium Darul Aman pada Sabtu.

KEDAH Darul Aman (KDA) FC bergelut untuk mencari jaringan awal ketika melayani kunjungan Negeri Sembilan FC dalam perlawanan minggu ke-9 Liga Super di Stadium Darul Aman pada Sabtu (17 Ogos).

Aksi debut Kedah di sebelah petang dilihat tidak menjadi masalah buat anak-anak buah Nafuzi Zain untuk mendominasi perlawanan di babak separuh masa pertama permainan.

Sepak mula di waktu petang itu juga mungkin tidak biasa buat penyokong Kedah kerana stadium dilihat lengang tatkala pihak pengurusan merayu supaya pemain ke-12 turun bagi membantu kantung kewangan pasukan.

BACA LAGI: ‘Semua tamak belaka’, fans Terengganu kecewa Sang Penyu bazir 3 mata di rumah sendiri

BACA LAGI: Sabah guna khidmat import Jepun, sambar 2 tonggak kebangsaan perkuat pasukan ke Asia

Walaupun stadium tidak dipenuhi penyokong Kedah, namun sorakan Ultras Sang Kenari tetap didengari sepanjang perlawanan untuk memberikan semangat buat pemain yang beraksi di atas padang.

Negeri Sembilan bertahan dengan sangat baik untuk mematahkan segala asakan Kedah dengan Milos Gordic diturunkan di posisi sayap kiri selepas ketiadaan pemain-pemain utama seperti Habib Haroon, Sukhrob Nurulloev dan Rizal Ghazali akibat kecederaan dan penggantungan.

Pada minit ke-45+2, Jacque Faye mengejutkan Kedah apabila menggunakan ketinggian fizikalnya untuk menanduk bola masuk ke dalam gawang Sang Kenari untuk mendahului perlawanan.

Tandukan Faye untuk meletakkan Negeri Sembilan di hadapan dengan keputusan 1-0 sebelum pengadil perlawanan, Mohd Kamil Zakaria meniupkan wisel penamat.

Menjadi persoalan adakah tunggakan gaji seperti didedahkan Irfan Zakaria dalam media sosial menjadi punca pemain Kedah tidak beraksi bersungguh-sungguh walaupun banyak peluang terhidang di separuh masa pertama?

Bersambung babak kedua perlawanan, pemain-pemain Kedah tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan hasil rembatan deras oleh Sony Norde pada minit ke-53 permainan.

Kemasukan Fayadh Zulkifli di separuh masa kedua yang menggantikan Milos Gordic ternyata membuahkan hasil apabila Sang Kenari terus menerus melakukan gerakan berbahaya di benteng pertahanan Negeri Sembilan.

Selepas beberapa asakan di kubu pertahanan The Jangs, Jose Cleylton menambah jaringan Kedah hasil tandukannya apabila mudah menyempurnakan hantaran lintang Sony Norde pada minit ke-63 permainan.

Perlawanan kembali seimbang dengan beberapa asakan buat kedua-dua pasukan sebelum Jacque Faye sekali lagi menewaskan Kalamullah Al-Hafiz pada minit ke-79 permainan untuk mengikat kedudukan.

Keputusan kekal 2-2 dengan Kedah hanya berjaya untuk mengutip satu mata penuh di hadapan penyokong sendiri.

Keputusan seri itu tidak mengembirakan penyokong Kedah namun mereka memilih untuk bersetuju dengan keputusan Nafuzi Zain mengeluarkan Milos Gordic selepas Fayadh beraksi sangat baik untuk membantu bahagian serangan Sang Kenari.

"Milos keluar baru Kedah boleh buat gol," kata Amir Ibrahim.

"Gordic adalah kunci kepada pasukan lawan Kedah," ujar Zaha Azha.

"Nampak sangat Milos sangat tak berguna untuk pasukan Kedah," jelas Haslizam Halim.

"Keluar beban (Milos) baru nampak pergerakan bola itu cantik," jelas Nadihays Ahmad.

Selepas ini Kedah akan bertemu Kuala Lumpur di Stadium Cheras, manakala Negeri Sembilan pula akan melayani kunjungan Perak di halaman sendiri pada 14 September. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram