PERAK FC akan menghadapi cabaran yang sukar dalam perlawanan minggu kesembilan apabila melayani kunjungan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Ipoh, Perak pada Sabtu (17 Ogos).
Skuad kendalian Yusri Che Lah telah mengalami tiga kekalahan dalam lima perlawanan terakhir itu pastinya mahukan keputusan positif walaupun bertemu juara bertahan, JDT.
Ini kerana Yusri kini ditekan dari pelbagai arah untuk beliau meletakkan jawatan selepas aksi yang tidak memberangsangkan meskipun Perak telah melakukan beberapa rombakan dan perubahan skuad bagi musim 2024-2025.
BACA LAGI: Endrick dos Santos sifatkan Liga Super lagi ‘kacang’ berbanding V-League
BACA LAGI: Arne Slot dedah guna taktikal baharu aksi 'debut' bersama Liverpool
Pemerhati bola sepak, T. Avineshwaran berpendapat perlawanan itu akan didominasi oleh JDT apatah lagi rekod baik menewaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) baru-baru ini.
"Pada pandangan saya dahulu ia satu perlawanan yang baik kita tahu Perak dan Johor mempunyai permusuhan sangat sengit tetapi sejak dua tahun kebelakangan ini selepas masalah kewangan dan diambil oleh XOX, Perak ada kekangan untuk memberikan cabaran kepada Johor.
"Tapi kita tahu pasukan Perak ini mempunyai pelbagai taktikal jadi kita akan melihat apakah pendekatan yang digunakan.
"Tetapi saya percaya JDT akan dominan selepas menang dengan Kedah 6-0 walaupun padang tak cantik ia akan menjadi perlawanan JDT," katanya kepada Majoriti.
Tambahnya lagi, dia percaya Perak akan turun dengan taktikal bertahan dengan Luciano Guaycochea menjadi harapan untuk membantu Perak sekurang-kurangnya mengutip satu mata.
"Saya percaya Perak akan bertahan untuk perlawanan ini sebab ia cabaran yang sukar.
"Jikalau mereka membuka permainan ia sesuatu yang bukan mudah untuk Perak.
"Pemain yang akan memberikan cabaran buat JDT adalah pemain Perak sendiri, tapi saya rasa Luciano Guaycochea menjadi pemain pilihan kerana dia ada kualiti yang baik," jelasnya.
Avineshwaran juga mempersoalkan punca utama rekod buruk di Stadium Ipoh dengan berharap perlawanan menentang JDT mampu mengukirkan senyuman buat penyokong Thr Bos Gaurus.
"Coach Yusri pun sekarang berada dalam tekanan daripada penyokong dan pihak pengurusan kerana keputusan tidak menyebelahi Perak.
"Kita pun tahu Perak di gelanggan sendiri agak teruk tidak seperti sebelum-sebelum ini.
"Penyokong pun terkilan juga kenapa Perak di rumah sendiri susah sangat nak dapat kemenangan adakah ia disebabkan tekanan? Ataupun mereka tidak melakukan tugas yang baik?
"Jadi saya berharap pasukan Perak dapat memberikan tentangan walaupun kalah tapi kalah bermaruah ia akan memberikan senyuman kepada penyokong," ujarnya.
Perak yang menghuni tangga kesembilan Liga Super akan melayani kunjungan Harimau Selatan di Stadium Ipoh dalam misi untuk mengutip tiga mata penuh. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram