‘Semua tamak belaka’, fans Terengganu kecewa Sang Penyu bazir 3 mata di rumah sendiri


  • Podium
  • Sabtu, 17 Ogos 2024

Terengganu gagal memanfaatkan peluang beraksi di halaman sendiri apabila sekadar mengutip satu mata menentang Pahang pada Jumaat. — Facebook/Terengganu FC

TERENGGANU FC membazirkan dua mata berharga untuk merapatkan jurang di tempat kedua Liga Super selepas seri 1-1 menentang Sri Pahang pada Jumaat (16 Ogos).

Perlawanan yang dilangsungkan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu itu menjadi saksi kebangkitan Sri Pahang menerusi tandukan Stefano Brundo pada minit ke-90+5 permainan.

Jaringan Brundo itu menutup peluang Terengganu untuk mengutip tiga mata penuh dan mengekori rapat kedudukan Selangor di tempat kedua Liga Super.

BACA LAGI: Temui jodoh dengan wanita tempatan, 3 import layak sarung jersi Harimau Malaya

BACA LAGI: 'Dulu mungkin permusuhan sengit, kini JDT yang dominasi lawan Perak'

Rembatan deras Nurillo Tukhtasinov dalam babak separuh masa pertama permainan tidak cukup untuk anak-anak buah Tomislav Steinbruckner memenangi perlawanan selepas tampil cemerlang menewaskan Kuala Lumpur City pada 10 Ogos lalu.

Kecewa dengan keputusan seri di halaman sendiri, penyokong Terengganu melabelkan pemain-pemain Sang Penyu tamak untuk menjaringkan gol sehingga merugikan pasukan.

Luahan itu dinyatakan oleh penyokong menerusi media rasmi Terengganu dengan ada yang mula tidak percaya taktikal diterapkan oleh pengendali dari Croatia itu.

"Permainan seorang-seorang tamak, benda boleh 'passing', 'crossing' kawan sebelah tak nak bagi. Kalau boleh nak bawa bola sampai dalam gol, main dalam satu pasukan, nak cipta peluang bukan senang," kata Mie Miey.

"Tamak haloba belaka permainan, macam main Piala DUN," jelas Anjang Ali.

"Jenis main tamak, benda boleh menang perlawanan semalam (Jumaat)," luah Fairunizam Raffar.

"45 minit main hantar belakang sahaja, taktikal macam itu mudah orang nak baca. Dah lah sepakan penjuru 'marking' kawan sendiri," ujar Mat Jenin.

Selepas ini Terengganu akan berhadapan dengan cabaran yang lebih sukar apabila bertemu pasukan gergasi Asia Tenggara seperti BG Pathum United, PSM Makassar dan beberapa kelab lain.

Jikalau Steinbruckner tidak melakukan perubahan ketara ia sedikit sebanyak akan memberikan kesan kepada persembahan TFC di pentas Asean di Piala Shopee yang berlangsung bulan depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram