SEPAK Takraw League (STL 2024) pada musim ini bakal menyaksikan pelaksanaan Grand Prix (GP), sebagai konsep dan format baharu yang diperkenalkan sempena sedekad kejohanan berkenaan menakluk arena sepak takraw tanah air.
Format GP yang akan membuka tirai gelanggangnya bermula 26 Ogos sehingga 17 November ini akan memberi peluang kepada pasukan untuk menjadi juara GP setiap minggu, mengikut setiap venue lokasi STL yang akan diadakan.
Manakala juara keseluruhan pula akan diumumkan mengikut jumlah mata yang tertinggi.
BACA LAGI: Ramai masih keliru, ketahui 3 terma istimewa termasuk 'maniam' dalam sepak takraw
BACA LAGI: Skuad takraw negara terima habuan khas RM170,000 dari MSN
STL musim ini akan dimulakan dengan STL Divisyen 1 dan akan terus menjelajah ke beberapa negeri terpilih termasuk di beberapa venue baharu pertarungan.
STL Disiyen 1 akan diadakan di Dewan Bukit Serindit, Melaka, diikuti dengan STL Premier bermula di Stadium Malawati, Selangor untuk GP pertama. GP kedua pula di Stadium Tertutup Gong Badak, Terengganu seterusnya GP ketiga di Stadium Indera Mulia, Perak, GP keempat di Spice Arena, Pulau Pinang dan GP kelima di Arena Larkin, Johor.
Sementara itu, persaingan antarabangsa STL Champions Cup pula akan diadakan di Stadium MBSJ, Serdang, Selangor.
Format baharu ini juga disambut baik oleh Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan yang berasakan pertandingan itu akan semakin sengit dan berintensiti tinggi.
“Saya pasti ramai penyokong yang tidak sabar untuk menyaksikan format baharu yang diperkenalkan ini. Meskipun bertanding di venue berlainan, saya yakin gelanggang akan sentiasa penuh dengan kehadiran penyokong.
“Kalau sebelum ini pun dalam format liga, kita selalu nampak ada satu pasukan kuat sahaja mendominasi. Jadi kita fikir, macam mana nak elakkan untuk orang terus berminat untuk menyaksikan STL di minggu ketujuh sehingga minggu ke-10.
“Pasukan dari Astro dan PSM sama-sama fikirkan cari format mana yang paling moden orang gunakan di antarabangsa. Jadi, ini lah yang sesuai dengan STL. Dari segi pertukaran venue pula, amat sesuai buat di beberapa negeri. Semua boleh rasa suasana STL,” katanya.
Mohd Sumali (empat dari kiri) bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (tiga dari kanan).
Mohd Sumali ditemui ketika sidang media Majlis Pelancaran dan Memperkenalkan Jersi Emas Anuar STL 2024 di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Hannah berkata, kejohanan tahunan berkenaan bukan hanya untuk menaikkan martabat sukan warisan itu di satu tahap berbeza, malah menjadi platform terbaik untuk melahirkan ramai pemain berkualiti.
“Seiring dengan perkembangan STL yang memasuki musim ke-10 tahun ini, pelbagai kejayaan yang ditempa dan kenangan yang telah dilakar. STL telah menjadi platfom mencungkil bakat sehingga melahirkan ramai pemain-pemain berkualiti sehingga menjadi jagoan sukan sepak takraw bertaraf dunia.
“Selain menjadi medan terbaik untuk pendedahan pemain sebelum beraksi diperingkat kebangsaan, STL juga telah menjadi lakaran detik kebangkitan dalam sukan ini
“Revolusi STL sepanjang satu dekad ini telah menyaksikan peningkatan prestasi skuad negara dan paling membanggakan apabila mereka telah meraih kejayaan besar dan bersejarah menewaskan Thailand dalam kategori regu dan double pada kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw ISTAF 2024 yang lalu.
“Inisiatif Astro dengan kerjasama Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dalam menganjurkan liga berprestij seperti STL sememangnya wajar diberi pujian,” ujarnya.
Rekod pada musim lalu menyaksikan Perak Bison muncul juara merampas kejuaraan daripada juara bertahan ATM Guardians, sementara kemenangan mengejutkan Negeri Sembilan Antlers sebagai juara baru STL Champions Cup.
Emas Anuar STL 2024 tahun ini merangkumi saingan STL Premier, STL Divisyen Satu dan STL Champions Cup, sebanyak 12 pasukan akan berentap masing-masing dalam saingan STL Premier dan STL Divisyen 1. Manakala, STL Champions Cup pula bakal menghimpunkan empat pasukan teratas dari STL Premier dan empat pasukan jemputan antarabangsa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram