DARIPADA status pemain profesional sebelum bertukar profesion kepada seorang guru tidak menghalang Muhamad Saiful Azri Shahnon untuk terus menurunkan ilmu dan pengalamannya dalam sukan takraw kepada anak muridnya.
Saiful Azri, 29, yang kini bertugas sebagai guru Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kepong dekat Kuala Lumpur merupakan watak penting dalam membangunkan sukan bola rotan itu kepada pelajar di sekolahnya.
Dia yang pernah mewakili Penang Black Panthers pada saingan Liga Sepak Takraw (STL) 2018 itu akui agak sukar untuk mendekatkan sepak takraw kepada golongan remaja lagi-lagi apabila melihat sukan berkenaan bukan kegemaran pelajar sekolah.
BACA LAGI: Ulangi skrip 2023, JDT buat Kedah terseksa, gol roket Bergson pasti jadi igauan
BACA LAGI: Sabah FC asah 'tanduk' sebelum jumpa Selangor FC, Tok Gajah tempang berdepan TFC
Saiful (kanan) bersama anak didiknya dalam sukan sepak takraw.
Cikgu PJK kelahiran Permatang Pauh, Pulau Pinang itu menyatakan bahawa menggunakan video dan mengajak secara perlahan-lahan remaja antara cara sesuai untuk mengajak pelajar sekolah mula meminat sukan takraw.
"Antara cabaran bila dah jadi jurulatih di sekolah ini ialah bagaimana nak tarik minat pelajar sekolah sedangkan pelajar banyak yang tidak minat main takraw.
"Cabaran kedua adalah bagaimana nak buat pelajar dari tak boleh main sehingga boleh bermain dan berminat. Untuk saya menanam minat dalam pelajar itu adalah dengan menunjukkan video pertandingan sepak takraw yang menarik.
"Saya akan bagi pelajar main dan dari situ mereka dan akan rasa seronok main takraw. Lepas itu secara perlahan-lahan akan asah bakat mereka," katanya kepada Majoriti.
Saiful yang mempunyai pengalaman dalam sukan itu menunjukkan bakatnya.
Dalam pada itu, Saiful Azri yang mesra dengan panggilan Epul juga berkongsi tiga pesanan yang perlu dijadikan panduan kepada pelapis sepak takraw tanah air yang berada di bangku sekolah jika ingin menjadi pemain profesional.
Menurutnya, kekuatan fizikal terutama di bahagian otot adalah nadi utama sepak takraw namun tiga aspek lain seperti disiplin, minat dan komitmen juga krtiteria yang perlu ada dalam setiap pemain.
"Dari segi kekuatan fizikal, pemain perlu memastikan otot bahagian bawah sentiasa dijaga. Selain itu, mereka juga perlu tingkatkan kemahiran asas takraw terutama untuk kawalan bola.
"Tidak lupa juga teknik-teknik yang diperlukan dalam sepak takraw seperti servis, merejam dan mengumpan perlu dikuasai," ujarnya yang sebelum ini memainkan peranan sebagai pengumpan (feeder) semasa bergelar pemain.
Sepanjang hampir tiga tahun melatih pasukan sepak takraw SMK Kepong, Saiful Azri membantu pasukannya menjadi naib johan Majlis Sukan Sekolah Sekolah Daerah (MSSD 2022), tempat ketiga MSS 2022 serta merupalan johan acara berpasukan dan acara Regu Majlis Sukan Sekolah Sekolah Selangor (MSSS 2024). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram