SABAH FC gagal memanfaatkan kelebihan bermain di gelanggang sendiri apabila tewas 1-2 kepada Selangor FC dalam saingan Liga Super pada Selasa.
Meskipun beraksi di hadapan penyokong sendiri namun anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee gagal menampilkan aksi yang memukau dalam perlawanan tersebut.
Meskipun pasukan tuan rumah mendahului pada minit ke-27 hasil gol sendiri pertahanan Selangor FC, Safuwan Baharudin, namun import Gergasi Merah, Ronnie Fernandez berjaya menyamakan kedudukan 1-1 sebelum Harith Haiqal meledak gol kemenangan buat skuad Merah Kuning.
BACA LAGI: [VIDEO] Masih relevan, Safee Sali diserbu fans cilik Sabah lepas jaringkan gol ikonik
BACA LAGI: Silap 2 kali Sang Badak hadiahkan Selangor kemenangan pertama di tempat lawan
Menariknya aksi tersebut, tiga gol yang diledak di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah itu hasil daripada barisan pemain pasukan pelawat.
Susulan kekalahan itu, rata-rata penyokong Sang Badak seolah-olah menuding jari dan meletakkan kesalahan di atas bahu import Korea Selatan, Ko Kwang-min.
Menurut mereka, Kwang-min merupakan pemain yang patut dipersalahkan kerana gagal menjaga benteng pertahanan Sabah dengan baik sehingga membenarkan gol Selangor mencetak gol.
"Kwang-min lah punca Sabah kalah lawan Selangor, passing bola pun tak clear," kata Sylvester Taha.
"Kesilapan yang membawa padah, kenapa juga bagi dekat pemain Selangor bola tu, Kwang-min memang puncalah," kata Ronald Kiyon.
"Alahai Kwang-min ni, tak nampak ke jersi warna merah itu Sabah, senang-senang saja bagi gol dekat Selangor," kata Jamil Iskandar.
Dengan kekalahan itu, Sabah kekal menghuni tangga keempat liga dengan meraih 13 mata selepas lapan perlawanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram