[VIDEO] Bukan gagal tapi belum berjaya dapat emas Olimpik, Hannah Yeoh minta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia


  • Podium
  • Rabu, 14 Ogos 2024

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (lima kiri). — Facebook/MSN

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas kegagalan kontinjen negara dalam membawa pulang pingat emas pertama dari Temasya Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Hannah menerusi akaun Facebooknya bagaimanapun mendedahkan bahawa kontinjen negara masih menunjukkan peningkatan prestasi di kota Paris.

Malah, Hannah turut menyifatkan program Road To Gold (RTG) untuk menamatkan kemarau 68 tahun pingat emas sebagai ‘tidak gagal’ sebaliknya ia masih belum berjaya.

BACA LAGI: [VIDEO] Masih relevan, Safee Sali diserbu fans cilik Sabah lepas jaringkan gol ikonik

BACA LAGI: [VIDEO] Hidup mati saya untuk sukan ini, perlu masa sebelum fikir bersara — Azizulhasni

"Bagi pihak kontinjen Malaysia, saya ingin memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia kerana kami masih belum berjaya membawa pulang pingat emas yang pertama untuk negara.

"Seperti yang diumumkan, Projek Road to Gold adalah program untuk dua kitaran Sukan Olimpik iaitu Paris 2024 dan Los Angeles 2028, apa yang kami lihat terdapat peningkatan prestasi daripada atlet RTG," tulisnya.

Menurut Hannah, walaupun kontinjen negara tidak memenangi emas namun beberapa atlet mencapai kejayaan yang ketara.

"Tiga atlet berjaya memecahkan rekod kebangsaan iaitu Datuk Azizulhasni Awang, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dan Aniq Kasdan, manakala Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Syaqiera Mashayikh mencatatkan rekod peribadi terbaik.

"Selain itu, terdapat juga beberapa atlet lain berjaya mencipta catatan peribadi terbaik," tulisnya di Facebook.

Azizulhasni

Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang sebak apabila gagal menyumbang pingat buat Malaysia. — Facebook

Dalam pada itu, Hannah berkata, pihak Jawatankuasa RTG akan mendapatkan laporan daripada setiap pasukan sebelum membentangkannya di Parlimen.

"Jawatankuasa RTG akan bermesyuarat dan mendapatkan laporan teknikal daripada setiap pasukan berserta akaun yang akan diaudit dan saya akan bentang di Parlimen.

"Kita akan menjawab isu mengenai akaun yang digunakan untuk ‘top-up’ service secara telus. Semua permintaan dan ‘top-up’ service yang diminta oleh pemegang taruh, jurulatih dam atlet-atlet telah ditunaikan sebelum ke Paris," katanya.

Sementara itu, Hannah turut mendedahkan bahawa pihaknya akan memberi masa kepada Azizulhasni untuk membuat keputusan sekiranya masih berhasrat untuk menyertai Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

"Jawatankuasa RTG akan menyokong keputusan Datuk Azizul untuk terus berjuang selagi beliau merasakan mampu untuk melakukannya.

"Tetapi saya minta semua untuk memberi Datuk Azizul masa untuk rehat dan berbincang dengan keluarga beliau dahulu," tambahnya.

Malaysia menamatkam misi Olimpik Paris 2024 dengan dua pingat gangsa menerusi beregu badminton lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Sik dan jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia. — The Star/HANISITAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram