Selepas tinggalkan Kelantan, Nixon kongsi destinasi baharu kariernya


  • Podium
  • Rabu, 23 Nov 2022

Nixon hanya berjaya merekodkan empat gol dalam 12 aksi Liga Perdana musim ini. — Facebook/TRW Kelantan FC

HANTARAN penyerang import Kelantan, Nixon Guylherme di akaun Facebook peribadinya seakan-akan mengesahkan pemergiannya meninggalkan naib juara Liga Super itu.

Selepas satu musim yang kurang memberangsangkan, pemain kelahiran Brazil itu terpaksa disisihkan daripada skuad berikutan isu kecergasan dan masalah kecederaan.

Meskipun pada awalnya dia merupakan tonggak pasukan, penyokong mula berasa kurang senang dengan sumbangannya sehingga ada yang berharap pihak pengurusan tidak mengekalkannya pada musim depan.

Hal ini kerana kehilangannya memaksa ketua jurulatih, Rezal Zambery Yahya menurunkan pemain tempatan seperti Nurshamil Abd Ghani meskipun tidak berada dalam prestasi terbaik.

Oleh itu, tidak hairanlah apabila terdapat segelintir penyokong seakan-akan meraikan pemergian Nixon selain mengharapkan pengganti dapat dicari dalam tempoh terdekat.

Namun, persoalan mula timbul mengenai masa depan penyerang tersebut dalam memilih destinasi baharu bagi meneruskan kariernya sama ada memilih untuk kekal di negara ini atau pulang ke negara kelahirannya.

4C0E86E7-E319-4F54-A070-FD15AEC738B9-1024x989

Nixon membuktikan bakatnya ketika beraksi dalam Liga Bangladesh. Agensi

"Saya rasa, saya akan terus kekal di Malaysia," katanya ringkas kepada Majoriti.

Jelasnya, terdapat tawaran yang dibuat beberapa pasukan Liga Malaysia selepas kontraknya tidak diteruskan pihak pengurusan The Red Warriors (TRW) bulan lalu.

Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai perkara itu, Nixon enggan memberi jawapan akan kelab berkenaan di mana jendela perpindahan hanya akan dibuka pada Disember ini.

Pemain berusia 26 tahun itu sebelum ini dibawa masuk sebelum permulaan musim 2022 selepas muncul sebagai antara pemain terbaik Liga Bangladesh bersama Chittagong Abahoni.

Prestasi dan reputasi itu bagaimanapun tidak berjaya disambung di kelab Pantai Timur itu apabila dia hanya berjaya mencatatkan 12 penampilan dengan empat gol berjaya dijaringkan.

Tetapi, dengan usianya yang dilihat masih muda, ia pasti menarik minat pasukan liga tempatan dalam menajamkan jentera serangan mereka untuk musim depan.

Selain itu, Nixon juga pastinya terbuka untuk menjadi pemain gantian selepas dia gagal untuk menyerlahkan bakat serta kemampuannya ketika kempen Liga Perdana dan Piala FA awal tahun lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram