BAGI menambah pilihan di benteng terakhir, Johor Darul Ta'zim (JDT) sebelum ini sudah mengumumkan kehadiran Christian Abad Amat sebagai rekrut terbaharu posisi penjaga gol mereka untuk pusingan kedua Liga Malaysia (Liga M).
Christian Abad mungkin bukan nama popular jika dibandingkan dengan nama-nama penjaga gol yang dikaitkan sebelum ini namun pemain itu bakal menjadi pelaburan jangka masa panjang kerana usianya yang muda iaitu baru memasuki 18 tahun.
Dari segi pengalaman beraksi di peringkat kelab, Christian Abad pernah menimba ilmu bersama skuad muda Valencia dan juga CD Alcoyano sebelum pemain itu membawa haluan baharu ke Elche CF.
BACA LAGI: Piala FA: Kelibat Jalil Elias di latihan bukti masih bersama JDT, sedia ranap budak universiti
BACA LAGI: Prestasi bersama skuad kebangsaan antara sebab JDT mungkin kehilangan Jalil Elias
Manakala, di peringkat remaja pula, Christian Abad menyertai Akademi Valencia pada usia 10 tahun dan kekal menjadi sebahagian daripada kelab hingga usianya mencecah 15 tahun sebelum dipinjamkan ke CD Alcoyano.
Untuk rekod, sepanjang beraksi selama dua musim di skuad muda Elche CF, penjaga gol muda berkenaan diberi kepercayaan untuk beraksi dalam 22 daripada 29 perlawanan pada musim 2023.
Selain profil pengalamannya bermain bersama beberapa kelab, Christian Abad juga dikatakan berpeluang untuk mewakili skuad kebangsaan susulan dilaporkan mempunyai darah Malaysia.
Penjaga gawang muda menyertai skuad Harimau Selatan daripada kelab Sepanyol, Elche CF. — Facebook/JDT
"Selepas Natxo dan Kiko Insa, jentera pertahanan JDT bakal diperkuatkan dengan seorang lagi pemain warisan berdarah Sepanyol.
"Difahamkan penjaga gol muda ini adalah seorang pemegang pasport Malaysia dan sudah mendarat di Selatan tanah air," memetik ciapan pemerhati bola sepak tanah air, Juan Budiman di laman Twitter (X) pada Julai lepas.
Christian Abad yang kini akan memberi saingan sengit buat penjaga gol utama, Ahmad Syihan Hazmi pastinya juga ditunggu untuk menyarung jersi Harimau Malaya pada suatu hari nanti.
Sebelum penjaga gol muda itu diuji bersama Harimau Malaya, ada penyokong domestik mencadangkan agar Christian Abad diturunkan untuk beraksi bersama mana-mana skuad negara seperti pasukan Bawah 19 tahun (B-19) negara.
Aksi skuad negara ketika menentang Australia bagi penentuan tempat ketiga. — Facebook/FAM
Skuad B-19 negara baru-baru ini menamatkan saingan Kejuaraan B-19 AFF 2024 di kedudukan keempat selepas tumbang 5-3 menerusi sepakan penentuan penalti di tangan juara lima kali, Australia pada aksi penentuan tempat ketiga di Stadium Gelora Bung Tomo di Jakarta, Indonesia pada Julai lepas.
Sebagai rekod, skuad B-19 beraksi cemerlang di peringkat kumpulan apabila mengungguli saingan Kumpulan C dengan tujuh mata hasil dua kemenangan dan satu keputusan seri.
Mereka membelasah Brunei 11-0 sebelum menang 5-0 ke atas Singapura dan menutup kempen peringkat kumpulan dengan keputusan 1-1 menentang Thailand. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram