Gol Neto-Rodrigo tidak cukup kuat buat Penang, gagal bawa pulang 3 mata dari bumi Kuching


  • Podium
  • Ahad, 11 Ogos 2024

Neto meledak gol pertama buat Harimau Kumbang dalam aksi Liga Super di Stadium Negeri, Kuching pada Ahad. — Facebook/MFL

KUCHING City FC menunjukkan semangat juang sebenar apabila kembali bangkit daripada ketinggalan dua gol sebelum seri 2-2 bersama Penang FC bagi saingan Liga Super di Stadium Negeri, Kuching, Sarawak pada Ahad.

Babak pertama bermula dengan Kuching City dilihat cuba untuk merobek pertahanan Penang FC dengan kelajuan namun sering sahaja dipatahkan oleh pertahanan Harimau Kumbang yang diketuai oleh ketua pasukan, Rafael Vitor.

Pasukan tuan rumah dan pelawat seolah-olah kehilangan deria penyudah apabila pemain di barisan serangan masing-masing tidak dapat menterjemahkan peluang dalam bentuk jaringan.

BACA LAGI: Lepas 97 hari 'welcome back Faisal Halim', Ronnie bangkit sumbat 2 gol buat Selangor FC

BACA LAGI: Pernah luah hasrat jadi 'head coach', Ramon Marcote mula cari kerja di LinkedIn

Harimau Kumbang terlebih dahulu hampir mendapatkan gol pendahuluan pada babak pertama perlawanan namun rembatan deras petahanan kiri, Muhammad Adib Raob terkena palang pada minit ke-15.

Permukaan padang yang agak licin hampir 'membunuh' beberapa pemain seperti Khairu Azrin yang mengalami kecederaan walaupun hanya terkena terjahan halus daripada Tchetche Kipre pada minit ke-20.

Harimau Kumbang membuktikan kualiti pemain mereka apabila penjaga gol, Sikh Izhan menepis percubaan daripada Kipre selepas pemain itu berhasil memanfaatkan gerakan awal yang dibina Jordan Mintah.

Selepas hampir 37 minit bermain, Joao Neto menjadi wira buat Harimau Kumbang apabila pemain import dari Brazil itu meledak gol menerusi kaki kirinya selepas menerima hantaran sempurna dari Nik Akif Syahiran.

Kejutan di bumi Kuching berlaku lagi apabila kualiti hantaran Neto menerusi situasi bola mati disambut sempurna oleh penyerang import mereka, Rodrigo Dias dan memberi gol kedua buat Harimau Kumbang.

Bersambung babak kedua, pemain gantian yang dibawa masuk iaitu Zahrul Nizwan bangkit meledak gol pertama untuk The Cats hasil hantaran bantuan daripada Jimmy Raymond pada minit ke-69.

Drama kebangkitan skuad kendalian Aidil Sharin bersambung apabila pemain bernombor tujuh mereka iaitu Kipre mencetak gol penyamaan buat The Cats pada minit ke-78, sekali gus memberi harapan buat pasukan tuan rumah mendapatkan mata berharga.

Perlawanan di Stadium Negeri itu berakhir dengan perkongsian satu mata antara Penang dan Kuching City. Keputusan berkenaan menyaksikan The Cats menduduki tempat kelima dan Harimau Kumbang pula berada pada tangga ketujuh. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram