KIRA-KIRA seminggu sebelum saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) bermula, Manchester United difahamkan berjaya mendapatkan khidmat dua pertahanan baharu yang diterbangkan dari Bayern Munich.
Wartawan bola sepak terkemuka dunia, Fabrizio Romano mengesahkan bahawa skuad The Red Devils telah menandatangani bekas pemain Bayern, Matthijs De Ligt dan Noussair Mazraoui dengan nilai perpindahan sebanyak €70j (RM395 juta) secara keseluruhan.
Difahamkan, kemasukan Mazraoui adalah jalan penyelesaian di bahagian bek kanan selepas Aaron Wan-Bissaka yang telah meninggalkan kelab itu untuk meraih pengalaman baharu bersama West Ham United.
BACA LAGI: Rupanya buat kerja, Liverpool sedang buru bintang Euro England kuatkan pertahanan
BACA LAGI: [VIDEO] Pernah beraksi di Piala Asia, 'Messi Jepun' kini selangkah ke Liverpool
Manakala, De Ligt pula dibawa masuk bagi memperkuatkan bahagian pertahanan tengah pasukan dan sebagai alternatif lain selepas pertahanan baharu mereka, Leny Yoro yang perlu berehat tiga bulan selepas kecederaan kakinya.
Kehadiran dua pemain baharu terutama De Ligt bagaimanapun kurang dipersetujui oleh legenda Manchester United, Rio Ferdenand yang menyifatkan pemain antarabangsa Belanda itu bukan jawapan tepat untuk pertahanan pasukan.
Bekas pertahanan The Red Devils itu melahirkan kebimbangannya tentang pembelian De Ligt oleh Man United kerana prestasi pemain berusia 24 tahun itu yang semakin mengecewakan sejak meninggalkan Ajax.
Ferdinand melahirkan kebimbangannya tentang pembelian De Ligt.
"Saya menontonnya di Ajax, dia (De Ligt) cemerlang pada tahun itu apabila mereka ke separuh akhir sebelum ditewaskan oleh Spurs. Dia pandai mengawal bahagian pertahanan dengan sangat baik.
“Kemudian dia pergi ke Juventus. Dia belajar daripada pemain seperti Leonardo Bonucci dan Giorgio Chiellini. Tetapi persembahannya di sana hanya diisi dengan kekecewaan dan sejak itu momentumnya semakin menurun.
“Saya rasa dia mempunyai 16 perlawanan musim lalu. Banyak kecederaan, tidak memulakan banyak perlawanan dalam dua atau tiga tahun lepas. Manchester United membelanjakan £45-50 juta untuknya," katanya memetik laporan media luar negara.
Untuk rekod, pemain yang baru-baru ini terlibat dalam kempen Euro 2024 bersama Belanda diturunkan dalam 30 perlawanan bersama Bayern dan turut menyumbang dua gol serta satu hantaran bantuan walaupun beraksi sebagai bek tengah. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram