PERTELINGKAHAN antara pemain sayap Manchester United, Jadon Sancho serta pengurusnya, Erik ten Hag seperti sudah berakhir selepas dia diturunkan dalam aksi persahabatan baru-baru ini.
Mereka sebelum ini dilaporkan tidak mempunyai persefahaman sehingga menyaksikan penyerang antarabangsa England terbabit mengambil keputusan meninggalkan skuad The Red Devils secara pinjaman ke kelab lamanya, Borussia Dortmund.
Tempoh tersebut jelas membawa kebaikan buat kedua-dua pihak, terutamanya bagi Sancho yang pernah berpeluang meraih anugerah pemain terbaik perlawanan dalam saingan Liga Juara-Juara UEFA (UCL).
BACA LAGI: Sancho dijangka kembali semula ke Borussia Dortmund
BACA LAGI: Drama temui penamat, United sedia lepaskan Sancho walaupun kena jual murah

PSG menyasarkan Sancho (kanan) bagi mengisi kehilangan Mbappe. — Agensi
Bagi ten Hag pula, ketiadaan pemain berkenaan menyaksikan kestabilan dan keharmonian pasukan terjamin sehingga membolehkan mereka menjulang Piala FA bagi edisi yang lalu.
Tetapi, dengan jentera serangan Manchester United sedikit rapuh, pengurus kelahiran Belanda berkenaan jelas mahukan Sancho dengan kepantasan dan hantarannya amat diperlukan.
Namun, kisah berbeza pula timbul apabila baru-baru ini, kedengaran khabar angin mengatakan Sancho bersedia untuk meninggalkan skuad The Red Devils buat selama-lamanya.
Ini selepas kelab gergasi Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) dikhabarkan berminat terhadap khidmatnya dengan proses rundingan sudah bermula antara kedua-dua pihak.

Perpindahan Sancho ke PSG akan membuka pintu buat Manchester United menyambar Ugarte. — Agensi
Meskipun hanya berstatus khabar angin, pasukan berkenaan sudah tentu berharap untuk mendapatkan Sancho berikutan kehilangan kapten dan penyerang utama kelab, Kylian Mbappe.
Selain itu, kebergantungan terhadap pemain lain seperti Randal Kolo Muani dan Ousmane Dembele tidak menjanjikan pulangan berbaloi, terutamanya sekiranya mereka mahu beraksi dengan baik di pentas UCL.
Manchester United sudah tentu terbuka untuk melepaskan Sancho memandangkan mereka berminat dengan pemain tengah PSG, Manuel Ugarte yang amat diperlukan ten Hag dalam pasukannya.
Pemergian Sancho ke kelab Ligue 1 itu akan membawa manfaat seperti mana diharapkan kesemua pihak, termasuk bagi kedua-dua pemain yang terlibat.
Setakat ini, skuad The Red Devils hanya membawa masuk dua wajah baharu, Joshua Zirkzee dan Leny Yoro dengan kemungkinan mereka akan terus berbelanja besar pada jendela perpindahan kali ini. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
