HARAPAN kontinjen negara untuk menamatkan penantian pingat emas sulung Sukan Olimpik tidak tercapai selepas atlet berbasikal negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom menamatkan saingan di tempat keempat dalam acara akhir keirin pada Ahad.
Dalam aksi di Velodrom Saint Quentin, Muhammad Shah, 28, dilihat hampir berjaya menamatkan saingan di kedudukan podium apabila berada di kedudukan ketiga sebelum di terjatuh di selekoh akhir bersama pelumba Jepun, Nakano Shinji.
Insiden itu menyebabkan atlet negara itu terpaksa berpuas hati menamatkan saingan di tempat keempat di belakang pelumba tempat pertama yang juga pemenang pingat emas, Harrie Lavreysen dari Belanda, dan Matthew Richardson dan Matthew Glaetzer dari Australia yang masing-masing berada di tempat kedua dan ketiga.
Biarpun terjatuh akibat perlanggaran tersebut, beliau kembali bangkit dan menghabiskan perlumbaan dengan catatan masa 3.348 minit di belakang pemenang perlumbaan tersebut, Harrie.
Persembahan Shah Firdaus masih dianggap sebagai 'anak jantan' terutamanya apabila terlebih dulu berdepan insiden sama pada aksi separuh akhir apabila terjatuh sebelum disahkan ke final selepas pelumba Jepun, Ota Kaiya dibatalkan penyertaan.
"Motor masih hidup, motor masih hidup," kata Shah Firdaus.
Dalam pada itu, keputusan rasmi menyaksikan penyertaan Shah Firdaus dalam saingan akhir Keirin Olimpk itu terbatal selepas juri mendapati dia memasuki laluan pelumba lain ketika perlumbaan.
Shah Firdaus menjadi harapan terakhir Malaysia bagi merangkul emas sulung Olimpik selepas jaguh negara, Datuk Azizulhasni Awang tersingkir di pusingan pertama, awal pagi Ahad.
Penyertaan pemenang perak Olimpik Tokyo 2020 itu dibatalkan selepas didapati mendahului derny (pacer). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram