[VIDEO] Safawi Rasid 'reborn', cipta rekod hatrik gol 'freekick' bantu TFC kutip 3 mata di Kuala Lumpur


  • Podium
  • Sabtu, 10 Ogos 2024

Safawi Rasid sudah merekodkan jaringan hatrik menerusi sepakan percuma musim ini.

PERLAWANAN antara Kuala Lumpur City FC (KL City) dan Terengganu FC (TFC) terpaksa dihentikan buat seketika apabila masalah lampu limpah dan alat komunikasi pengadil tidak dapat berfungsi.

Pada minit kelima permainan, pengadil perlawanan, Tuan Mohd Yaasin terpaksa menghentikan aksi buat kedua-dua pasukan meskipun ketika itu KL City sedang rancak menyerang ke kawasan pertahanan Sang Penyu.

Tuan Mohd Yassin mengambil keputusan itu selepas alat komunikasi miliknya tidak berfungsi secara baik dan meminta bantuan pengadil keempat.

BACA LAGI: Lepas 97 hari 'welcome back Faisal Halim', Ronnie bangkit sumbat 2 gol buat Selangor FC

BACA LAGI: [VIDEO] DNA samba paling menjadi sepanjang musim Liga Super setakat ini

Tujuh minit selepas itu, lampu limpah Stadium Kuala Lumpur pula terpadam sehingga memaksa perlawanan dihentikan selama 15 hingga ke 20 minit.

Dua masalah teknikal ini ternyata tidak menghalang aksi serangan balas kedua-dua pasukan yang mahu mengutip tiga mata penuh dalam aksi Liga Super minggu kelapan.

Di babak separuh masa pertama, Paulo Josue dan Haqimi Azim Rosli menjadi watak berbahaya The City Boys untuk cuba membolosi gawang gol TFC.

Manakala Akhyar Rashid acap kali memberikan kesukaran buat pertahanan kanan KL City untuk menjaganya yang sering berjaya membawa bola ke dalam kotak penalti Kuala Lumpur.

Ketangkasan dan kecekapan kedua-dua penjaga gol pasukan berjaya mengelakkan mereka dibolosi awal.

Namun sebelum pengadil meniup wisel separuh masa pertama, Manuel Ott berjaya menjaringkan gol menerusi satu rembatan deras selepas menerima hantaran daripada Azam Azmi dalam masa tambahan.

Keputusan separuh masa pertama Kuala Lumpur 0-1 Terengganu dengan masa tambah diberikan sebanyak 15 minit akibat dua masalah teknikal itu.

Bersambung babak kedua perlawanan, Terengganu tidak lagi menoleh ke belakang apabila terus menerus mengasak kubu pertahanan Kuala Lumpur.

Akhyar sekali lagi menjadi tumpuan apabila pertembungannya dengan Sean Giannelli seringkali mendapat perhatian lensa kamera.

Pada minit ke-69, Safawi Rasid meledak menerusi sepakan percuma dan ini sekali gus menjadikannya jaringan hatrik menerusi 'freekick' selepas Selangor dan Negeri Sembilan sudahpun menjadi mangsa.

Malah pengulas juga ibaratkan Safawi sudah lahir semula dengan enam jaringan yang dihasilkannya musim ini.

Kuala Lumpur cuba bangkit namun corak permainan yang ditampilkan oleh Kenny Palraj mendapat perhatian pengadil selepas kekasaran yang ditampilkannya.

Jaringan sepakan percuma Safawi sudah cukup untuk Terengganu membawa tiga mata penuh dengan permainan tamat dengan keputusan 2-0 memihak kepada pasukan pelawat.

Melihat jaringan serta corak permainan Safawi dan Akhyar, rata-rata penyokong Terengganu tidak dapat menyembunyikan perasaan mereka apabila mahu duo Johor Darul Ta'zim (JDT) itu kekal di bumi Darul Iman.

"Inilah Safawi yang kita kenal dulu, hebat!" kata Fitrie Rizqi.

"Wilayah Safawi situ, memang setakat ini 100% kalau dia ambil 'freekick' memang akan gol," jelas Hafeez Mohammed.

"Rasanya Safawi dan Akhyar bagus duduk Terenggau, duduk JDT tak dapat main," ujar Kiki Lala. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram