SEHINGGA kini, rata-rata penyokong skuad Tok Gajah masih tidak dapat melupakan sentuhan penyerang kelahiran Colombia, Steven Rodriguez meskipun dia beraksi untuk tempoh yang pendek buat kelab itu.
Dia yang dibawa masuk pada pertengahan musim 2022 jelas tidak mengecewakan apabila merekodkan 12 jaringan dalam 16 penampilan buat semua pertandingan.
Catatan itu membuktikan penyerang yang kini berusia 25 tahun berkenaan sukar dicari galang ganti, lebih-lebih lagi apabila barisan serangan Sri Pahang FC sedikit mengecewakan musim ini.
BACA LAGI: Masih kekal badi Darul Makmur, Selangor gagal manfaat peluang kad merah Sri Pahang
BACA LAGI: Fandi banyak mengeluh kisahkan Sri Pahang masih terus bergelut

Rodriguez (kanan) kini beraksi di samping Carlos Bacca di Junior FC. — Instagram/titirodriguez
Selepas kontraknya tidak disambung, Rodriguez mengambil keputusan untuk pulang ke negara kelahirannya dengan harapan dia dapat menjadi pemain yang lebih prolifik di benua Amerika Selatan.
Namun, cita-cita itu bukanlah sesuatu yang mudah memandangkan pemain berkenaan kerap menukar pasukan selain perlu menerima realiti kesukaran bola sepak di rantau tersebut.
Bagaimanapun, ia jelas tidak mematahkan semangatnya apabila dia kini beraksi untuk Junior FC selepas menyertai kelab tersebut pada Julai lalu.
Keputusan berkenaan membawa sedikit kebaikan buat Rodriguez yang sudah meraih satu gol dalam empat penampilan selain berpeluang beraksi dalam saingan Copa Libertadores.
Tetapi, apa yang lebih menarik mengenai karier penyerang Colombia itu adalah apabila dia berpeluang bergandingan dengan bekas penyerang berbisa di Eropah, Carlos Bacca.

Carlos Bacca pernah memiliki reputasi menggerunkan di Eropah. — Agensi
Pemain yang pernah mewarnai saingan Liga Eropah UEFA (UEL) bersama Sevilla dan AC Milan itu pernah digeruni kerana sentuhan dan penyudah dimilikinya sukar dibendung.
Tidak cukup dengan itu, penyerang berusia 37 tahun tersebut pernah dipanggil mewakili Colombia sebanyak 52 kali, termasuk di pentas Piala Dunia 2018.
Peluang beraksi di samping Carlos Bacca pasti akan menaikkan lagi tahap Rodriguez sebagai antara penyerang terbaik di Amerika Selatan, baik dari segi fizikal mahupun mental.
Peningkatan mendadak tersebut sudah pasti akan terus diingati penyokong skuad Tok Gajah yang pernah terpukau akan keunggulannya meskipun untuk separuh musim sahaja. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
