[VIDEO] Jaring 32 gol semusim, Man United sah ikat bekas penyerang The Gunners


  • Podium
  • Rabu, 07 Ogos 2024

Man United dikhabarkan sudah mengikat Obi-Martin daripada Arsenal.

MANCHESTER United kembali berbelanja dalam jendela perpindahan musim panas 2024 apabila mendapatkan graduan akademi Arsenal, Chido Obi-Martin.

Sebelum ini, The Red Devils telah berbelanja besar untuk mendapatkan khidmat bekas bek tengah Lille, Leny Yoro dan penyerang Belanda, Joshua Zirkzee.

Meskipun begitu, kelab itu tidak pernah lupa memburu prospek muda yang berpotensi membuat kemunculan dalam kesebelasan utama.

BACA LAGI: [VIDEO] Lepas 'offer' main tanpa gaji, Liridon kongsi gol mantap gandingan bersama legenda AC Milan

BACA LAGI: Istimewanya No.16, Syihan Azmi antara 3 bintang utama pakai nombor jersi keramat

Chido Obi

Chido Obi-Martin.

Nama Obi-Martin menjadi sebutan kerana pada usia 16 tahun, penyerang Denmark itu telah meledakkan 10 gol ke atas skuad Liverpool Bawah 16 Tahun (B-16) pada Oktober 2023.

Selain itu, Obi-Martin turut meledakkan 32 gol buat skuad muda Arsenal dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) Premier League 2 (aksi liga simpanan membabitkan kelab-kelab EPL).

Prospek cerah yang dimilikinya mendorong The Gunners berusaha untuk mengekalkan Obi-Martin di Stadium Emirates tetapi gagal. Ini menyebabkan namanya diintai beberapa kelab besar Eropah termasuk United.

Kini, wartawan sukan terkenal, Fabrizio Romano melaporkan Obi-Martin sudah melengkapkan bahagian pertama ujian perubatan bersama United. Sekiranya semua proses berjalan lancar, dia akan menjadi pemain ketiga United untuk musim 2024/25.

Obi-Martin dilaporkan berminat ke Old Trafford selepas melihat kisah kejayaan dua bintang muda United, Kobbie Mainoo dan Alejandro Garnacho. Malah, penolong pengurus The Red Devils, Ruud van Nistelrooy dilaporkan turut membantu usaha mendapatkan penyerang Denmark itu.

Obi-Martin dijangka memeterai kontrak profesional pertamanya bersama United apabila usianya mencecah 17 tahun. Selain Denmark, beliau juga berpotensi mewakili Nigeria atau England.

United kini sibuk memburu beberapa pemain sebelum tetingkap perpindahan ditutup pada penghujung bulan ini. Pengurusan The Red Devils turut terbuka untuk menjual beberapa pemain seperti Scott McTominay dan Casemiro untuk membiayai dana perpindahan mereka. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram