Sancho dijangka kembali semula ke Borussia Dortmund


  • Podium
  • Rabu, 03 Jan 2024

Sancho hanya diletakkan dalam skuad simpanan Man United selepas hubungannya dengan ten Hag mula dingin. — Agensi

JENDELA perpindahan Eropah dibuka Isnin lalu menyaksikan beberapa pasukan sudah sibuk membuat perancangan untuk membawa masuk pemain baharu untuk baki musim masing-masing.

Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United merupakan antara yang sedang berusaha keras selepas bergelut di peringkat domestik selain tersingkir daripada Liga Juara-Juara UEFA (UCL).

Jadi, harapan besar diletakkan penyokong terhadap pengurus pasukan, Erik ten Hag dalam usaha memperbaiki kedudukan sebelum tirai musim 2024/25 dilabuhkan.

Berdasarkan laporan semasa, skuad The Red Devils dikatakan sudah membuat langkah awal dengan menamatkan kontrak pinjaman bek kiri dari Tottenham Hotspur, Sergio Reguilon.

Pemain berusia 27 tahun berkenaan hanya merekodkan sembilan penampilan EPL buat pasukan tersebut setelah gagal menepikan Diogo Dalot sebagai pilihan utama di posisi terbabit.

BACA LAGI: [VIDEO] Pernah tackle Garnacho, bintang Indonesia disebut-sebut pengganti terbaik Quentin Cheng

1231288459.0

Jadon Sancho diangkat sebagai antara pemain muda sepanjang beberapa musim bersama Borussia Dortmund. — Agensi

Kini, Manchester United dilaporkan akan kehilangan seorang lagi pemain dengan penyerang sayap, Jadon Sancho dilaporkan mahu kembali ke kelab Jerman, Borussia Dortmund meskipun dengan status pinjaman.

Berdasarkan laporan media antarabangsa, pemain antarabangsa England tersebut mahu berbuat demikian setelah tidak beraksi secara kompetetif sejak berdepan Nottingham Forest di laman sendiri pada Ogos 2023.

Hubungan tegang antaranya dengan ten Hag dikatakan sebagai punca utama atas tindakan terbabit selepas Sancho mengkritik pengurus dari Belanda itu secara terbuka.

Jadi, dalam usaha mengembalikan sentuhannya di atas padang, pemain berusia 23 tahun berkenaan memasang hasrat untuk kembali ke pangkuan Borussia Dortmund pada jendela perpindahan kali ini.

Sepanjang beraksi bersama kelab Bundesliga itu sebelum ini, Sancho menjaringkan 50 gol dan mencatatkan 64 bantuan jaringan dalam hanya 137 penampilan untuk kesemua pertandingan.

Sekiranya dia dapat menemui semula rentaknya bersama skuad kendalian Edin Terzic, reputasinya bersama Manchester United pasti akan meningkat dan membantu pasukan berada di tahap lebih baik. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram