DRAMA di Old Trafford kini memasuki episod baharu apabila nasib pemain sayap, Jadon Sancho kini sudah mula diketahui.
Sancho kini berdepan hukuman terbesar dalam kariernya di Manchester United selepas bergaduh dengan pengurus Erik ten Hag.
Ten Hag yang masih menantikan permohonan maaf daripada pemain tersebut kini seakan sudah hilang sabar dengannya dan tindakan drastik akan diambil oleh United terhadap pemain antarabangsa England itu.
United kini dilaporkan bersedia untuk melepaskan Sancho secara kekal dengan kelab tersebut ingin menjualnya secepat yang boleh.
Sancho kini akan diletakkan sebagai pemain yang hendak dijual oleh United dan mana-mana kelab boleh mendapatkan pemain tersebut seawal jendela perpindahan pada Januari ini.
Namun begitu, United harus menanggung kerugian kerana terpaksa menjual Sancho pada kadar yang jauh lebih rendah berbanding ketika mereka mendapatkannya dari Borussia Dortmund.
United hanya boleh menjual Sancho pada sekitar £40 juta (RM231 juta) selepas sebelum ini membelinya pada harga £73 juta (RM423 juta) ketika tahun 2021.
Sancho kini tidak digemari oleh Ten Hag. — Agensi
Walaupun dijual pada harga yang rendah, United dilihat sukar untuk mendapatkan pembeli kerana tiada yang sanggup membeli Sancho dek kerana kekurangan minit permainan pada musim ini.
Barcelona dan Juventus dikatakan berminat untuk mendapatkan Sancho pada Januari ini, tetapi mereka lebih berminat untuk meminjam sahaja bukannya membeli terus.
Masa Sancho di United mungkin sudah tamat, tetapi masih lagi ada satu jalan untuknya iaitu mengaku kalah dan meminta maaf kepada Ten Hag.
Rakan sepasukan Sancho dikatakan sedang memujuknya untuk akhirnya mengaku kalah dan minta maaf kepada pengurusnya. Namun tidak dapat dipastikan sama ada pujukan itu akan berhasil atau tidak.
Sebelum ini, Sancho dan Ten Hag bertelagah selepas pengurus United itu mendakwa pemainnya itu tidak berlatih dengan baik ketika latihan.
Sancho kemudiannya membalas kenyataan Ten Hag menerusi media sosial dengan mendakwa dirinya dijadikan kambing hitam oleh pengurus tersebut. Ten Hag berang dengan tindakan itu lalu mahukan pemain tersebut meminta maaf tanpa syarat.
Oleh kerana tidak mahu berbuat demikian, Ten Hag kemudiannya melarang Sancho daripada berlatih dan memasuki segala fasiliti untuk skuad utama United. Namun tindakan itu tidak mampu membuatkan Sancho untuk kembali memohon ampun kepada Ten Hag. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram