SELANGOR FC menunjukkan tahap kebimbangan mereka terhadap jentera serangan Gergasi Merah apabila mengambil keputusan untuk membawa masuk pemain import baharu, Ali Iyad Ali Olwan baru-baru ini.
Meskipun masih mempunyai Ronnie Fernandez sebagai penggempur utama musim ini namun persembahan semasa pemain dari Chile itu masih berada di bawah par dengan hanya mencetak tiga gol setakat enam aksi Liga Super jadi ukuran kualitinya.
Oleh itu, tidak hairan jika Ali Olwan yang pernah melakarkan jaringan hatrik ketika menewaskan Harimau Malaya dalam aksi persahabatan antarabangsa pada Oktober 2021 di Amman, Jordan berkenaan menjadi pilihan lain Selangor di bahagian serangan.
Pemain berusia 24 tahun tersebut dibawa masuk secara percuma dari pasukan di Qatar, Al-Shamal SC dengan Ali Olwan difahamkan akan memakai jersi bernombor 90 bersama Gergasi Merah pada musim ini.
Selepas Ali Olwan, skuad Gergasi Merah dikhabarkan masih bernafsu besar untuk memburu lebih banyak pemain di jentera hadapan dengan bintang kelahiran Jordan masih menjadi sasaran teratas pasukan Lembah Klang berkenaan.
Pemain yang dimaksudkan ialah penyerang kebangsaan skuad The Chivalrous Ones, Yazan Al-Naimat. Nama Yazan juga dekat dengan peminat bola sepak tanah air susulan pemain itu menjadi antara watak 'pembunuh' impian Harimau Malaya di pusingan awal Piala Asia 2023.

Yazan juga mencetak satu jaringan untuk Jordan dalam perlawanan seri 2-2 menentang Korea Selatan pada peringkat Kumpulan E Piala Asia. — Instagram/YazanAl-Naimat
Tonggak berusia 25 tahun berkenaan memberi tiga assists dalam aksi bertemu Malaysia pada pusingan Kumpulan E Piala Asia, yang menyaksikan Jordan menewaskan Harimau Malaya dengan keputusan 4-0.
Desas-desus Yazan akan menyertai kem Gergasi Merah mula kecoh dalam kalangan penyokong Jordan dan menerima pelbagai maklum balas yang kurang bersetuju jika penyerang mereka berhijrah ke saingan Liga M.
"Kami dengan khabar berita yang Yazan Al-Naimat akan berhijrah ke pasuskan yang sama (Ali Olwan) juga nanti," kata penyokong Jordan, Mohammad Aljdefy sambil menggunakan emoji tepuk dahi sebagai simbolik kurang gemar dengan khabar angin berkenaan.
Ketajaman penyerang yang juga mampu beraksi sebagai pamain sayap itu dapat dibuktikan apabila Yazan merekodkan tujuh jaringan dan tujuh bantuan jaringan dalam 20 perlawanan bersama Al-Ahli SC.
Sebelum ini, Selangor pernah mendapatkan khidmat seorang lagi bintang Jordan bernama Yazan Al-Arab sebelum pemain itu ditamatkan kontrak pada Oktober 2023 gara-gara kontroversi mengasari pengadil perlawanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
