KEDAH Darul Aman (KDA) FC berada dalam prestasi kurang memberangsangkan apabila hanya mencatatkan tiga kemenangan selepas enam perlawanan Liga Super 2024.
Bukan itu sahaja, skuad kendalian Nafuzi Zain itu kini menduduki tangga kelapan liga dengan hanya mengutip tujuh mata.
Selepas beberapa perlawanan Liga Malaysia (Liga M) berlangsung, anak-anak buah Nafuzi dilihat bergelut untuk mendapatkan jaringan dan benteng pertahanan pasukan itu senang ditembusi.
BACA LAGI: Sudah patut kemas beg, ramai fans Kedah samakan Milos Gordic dengan import Gergasi Merah
BACA LAGI: [VIDEO] Memang offside pun — Subkhiddin
Masalah tersebut nampaknya boleh memberi kesan besar kepada keputusan perlawanan pada masa akan datang dan kedudukan keseluruhan dalam liga.
Jadi, dengan jendela perpindahan akan dibuka tidak lama lagi, kemungkinan besar Sang Kenari akan membuat rombakan di bahagian serangan dan pertahanan.
Bagaimanapun, pilihan terbaik adalah dengan membawa pemain yang pernah menerima didikan Nafuzi memandangkan kemasukan mereka akan memudahkan proses penyesuaian.
Berdasarkan pemerhatian Majoriti, terdapat tiga nama yang sesuai disambar Sang Kenari untuk membantu mencipta nama bersama KDA FC.
Sebagai bek tengah, Diakite merupakan pemain kepercayaan Nafuzi untuk membantu menguatkan kubu pertahanan skuad Sang Penyu sebelum ini. — Facebook/TFC
1. Pape Diakite
Bekas pertahanan Terengganu FC, Pape Diakite merupakan bekas pemain bola sepak profesional yang berasal dari Senegal.
Diakite cukup dikenali oleh skuad Sang Penyu sebagai pemain pertahanan yang kukuh dan berpengalaman.
Untuk rekod, Diakite pernah bermain untuk Terengganu FC yang pada ketika itu dikendalikan oleh Nafuzi.
Bersama di posisi pertahanan, Diakite pernah mencetak satu gol dan merekodkan 2,572 minit permainan selepas 29 perlawanan Liga M bagi musim 2021/2022.
Melihat kepada Transfermarkt, pemain berketinggian 1.94 meter itu kini berstatus sebagai ejen bebas dan peluang cerah untuk Nafuzi mendapatkan khidmatnya.
Da Silva hanya kekal semusim bersama skuad Sang Penyu. — Facebook/TFC
2. David da Silva
Penyerang Persib Bandung, David da Silva merupakan bekas pemain bola sepak yang pernah dilatih oleh Nafuzi Zain.
Peledak kelahiran Brazil itu terkenal dengan kemampuannya menjaringkan gol dan menjadi salah seorang pemain penting dalam skuad yang pernah dibimbing oleh Nafuzi Zain.
Di bawah kendalian Nafuzi, dia menunjukkan prestasi yang cemerlang dan membantu pasukannya dalam pelbagai pertandingan dan merekodkan tujuh gol selepas 15 perlawanan Liga Super bagi musim 2020/2021.
Hubungan baik antara mereka berdua ketika di Terengganu, sebagai pemain dan jurulatih, memberi impak positif kepada karier Da Silva di Malaysia.
Shitembi cemerlang bersama skuad Sang Penyu pada musim lalu. — Facebook/TFC
3. Petrus Shitembi
Pastinya penyokong Sang Penyu sudah cukup mengenali Petrus Shitembi yang juga merupakan bekas anak didik Nafuzi.
Dalam 14 penampilan Liga Super yang direkodkan, Petrus menjadi tulang belakang buat Terengganu FC apabila mencatatkan 10 bantuan jaringan di samping meraih satu gol peribadi.
Pemain berketinggian 1.68 meter itu dikenali dengan kemampuannya mengawal permainan di tengah padang dan menyumbang dengan baik kepada pasukan.
Nafuzi yang pernah menjadi jurulatih Sang Penyu itu merupakan individu penting dalam melatih dan mengasah bakat Shitembi.
Kehadiran Shitembi di bahagian tengah membolehkan jentera serangan Sang Penyu sebelum ini berfungsi dengan baik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram