JOHOR Darul Ta'zim (JDT) nampaknya memandang serius mutu keampuhan benteng terakhir mereka apabila dikhabarkan sedang memantau seorang penjaga gol dari Lembah Klang menjelang jendela perpindahan pada Ogos ini.
Penjaga gol yang dimaksudkan sedang berada dalam radar Harimau Selatan ialah pemain Kuala Lumpur (KL) City FC iaitu Azri Ghani dengan pemain itu kini sedang menikmati kempen cemerlang setakat enam perlawanan Liga Super.
Sejak Kevin Ray Mendoza meninggalkan KL City bagi menyertai pasukan Liga 1 Indonesia, Persib Bandung pada tahun lepas, Azri menjadi pertaruhan utama jurulatih untuk menjaga benteng terakhir pasukan The City Boys.
BACA LAGI: Piala FA: Kelibat Jalil Elias di latihan bukti masih bersama JDT, sedia ranap budak universiti
BACA LAGI: Prestasi bersama skuad kebangsaan antara sebab JDT mungkin kehilangan Jalil Elias
Gawang dijaga pemain berusia 25 tahun berkenaan dibolosi sebanyak enam gol dengan Azri juga merekodkan empat clean sheets dalam enam perlawanan Liga Super dia diturunkan setakat ini.
Desas-desus mengenai penghijrahan Azri ke Selatan tanah air semakin meniti di bibir penyokong JDT selepas pemerhati sukan tanah air, T. Avineshwaran berkongsikan perkara tersebut di laman X.
"JDT sedang memantau khidmat penjaga gol KL, Azri Ghani," tulisnya di laman X.
Khabar angin itu pastinya muncul selepas KL City terus dirundung masalah berikutan denda dikenakan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) atas isu pengurusan yang timbul.
Sekiranya benar anak jati Kota Bharu, Kelantan berkenaan akan tiba ke kem JDT, Azri dijangka akan menjadi penjaga gol ketiga Harimau Selatan susulan juara bertahan Liga Super itu baru sahaja merekrut Christian Abad Amat.
Christian Abad bakal menjadi penjaga gol kedua selepas Syihan Hazmi tetapi pemain itu bakal menjadi pelaburan jangka masa panjang kerana usianya yang muda iaitu baru memasuki 18 tahun.
Dari segi pengalaman beraksi di peringkat kelab, Christian Abad pernah menimba ilmu bersama skuad muda Valencia dan juga CD Alcoyano sebelum pemain itu membawa haluan baharu ke Elche CF.
Manakala, di peringkat remaja pula, Christian Abad menyertai Akademi Valencia pada usia 10 tahun dan kekal menjadi sebahagian daripada kelab hingga usianya mencecah 15 tahun sebelum dipinjamkan ke CD Alcoyano.
Untuk rekod, sepanjang beraksi selama dua musim di skuad muda Elche CF, penjaga gol muda berkenaan diberi kepercayaan untuk beraksi dalam 22 daripada 29 perlawanan pada musim 2023. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram