[VIDEO] 'Awak akan jadi yang terbaik jika bangkit', Faisal Halim pegang kata-kata Kim Pan-gon sebelum berpisah


  • Podium
  • Isnin, 05 Ogos 2024

Faisal disenaraikan sebagai pemain simpanan dalam perlawanan menentang Terengganu FC pada Sabtu. — Facebook/SelangorFC

PENYERANG sayap Selangor FC, Faisal Halim 'seperti mati hidup semula' dalam karier bola sepaknya apabila kembali bangkit disenaraikan dalam senarai skuad Gergasi Merah dalam perlawanan separuh akhir Piala FA baru-baru ini.

Tonggak kebangsaan tersebut kembali dalam arena Liga Malaysia (Liga M) selepas tiga bulan 'menghilang' susulan kecederaan dialami akibat insiden simbah asid yang menimpa dirinya pada Mei lepas.

Faisal disenaraikan sebagai pemain simpanan dalam perlawanan menentang Terengganu FC itu jelas menyuntik semangat rakan sepasukan apabila mencatatkan kemenangan 4-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya, Selangor pada Sabtu.

BACA LAGI: Selain Kim Pan-gon, Pau Marti Vicente pernah berguru dengan 3 jurulatih berdarah FC Barcelona

BACA LAGI: 'Bahaya dimaksudkan KPG mungkin tentang bakat baharu Harimau Malaya'

Faisal berkongsi bahawa keluarga, rakan sepasukan, penyokong dan bekas pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon menjadi motivasi untuk dia kembali bermain selepas tiga bulan menerima rawatan.

"Coach beritahu saya yang saya akan jadi yang terbaik pada masa depan jika bangkit dan saya pegang kata-kata itu. Saya cuba untuk bangkit dan jadi pemain luar biasa. Saya nak buktikan yang saya tidak boleh dijatuhkan dengan apa-apa.

"Doa rakyat Malaysia di belakang saya juga banyak membantu saya. Saya dah bersedia dan tidak sabar untuk beraksi. Saya nak bantu dan nak terus bersama Selangor selagi saya diperlukan," katanya dalam satu video temu bual dimuat naik Selangor FC di media sosial.

Pemain berusia 26 tahun sememangnya masih terkesan dengan kehilangan Pan-gon susulan pengendali dari Korea Selatan itu memberi perubahan positif dalam diri semua pemain kebangsaan.

Pan-gon melepaskan jawatannya sebagai pengendali Harimau Malaya pada Julai lalu dan kini ketua jurulatih itu sudah memulakan cabaran baharu bersama pasukan gergasi Korea Selatan, Ulsan Hyundai.

"Saya sedih sebab saya pernah bekerja untuk coach Kim (Pan-gon), saya tahu keikhlasan dia dan karakternya. Dia banyak mengubah karakter seorang pemain dan karakter pasukan Harimau Malaya.

"Ketika di hospital dia lawat, dia masuk terus tak cakap dan menangis. Lima minit duduk sebelah saya, memang dia tak bercakap. Itu antara momen saya tersentuh. Walau bukan bangsa kita, bukan rakyat kita tapi dia ikhlas dengan tanggungjawabnya," tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram