HARI yang mengejutkan buat penyokong bola sepak Malaysia apabila pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon meletakkan jawatan selepas tiga tahun berada dalam posisi tersebut.
Dalam satu sidang media khas di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Selangor pada Selasa, jurulatih dari Korea Selatan itu mengesahkan khabar angin yang tular baru-baru ini.
"Saya minta maaf kepada semua rakyat Malaysia, saya hari ini ingin mengumumkan saya akan meninggalkan jawatan saya dalam Harimau Malaya," kata Pan-gon.
BACA LAGI: [VIDEO] Syahmi Safari, Assifuah dilabel antara 'super-sub' paling bahaya Liga Super ketika ini
BACA LAGI: Nama 2F jadi pilihan, penyokong Kedah reda Syafiq Ahmad tak dapat turun lawan JDT
Pan-gon akan digantikan pembantunya, Pau Marti Vicente yang akan berada memegang jawatan itu sehingga aksi Pestabola Merdeka seperti mana disahkan Timbalan Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi.
Dengan Pau Marti menjadi pengendali sementara, timbul persoalan dalam kalangan penyokong bola sepak akan kredibilitinya selaku ketua jurulatih Harimau Malaya bagi kejohanan itu.
Majoriti senaraikan tiga guru Pau Marti sebelum menyertai barisan kejurulatihan Pan-gon pada 2022:
1. Josep Gombau Balague
Pau Marti pernah duduk dibawah barisan kejurulatihan Josep Gombau semasa pengendali Sepanyol itu membimbing kelab Hong Kong, Kitchee SC pada musim 2012 hingga 2013.
Pengendali sementara Harimau Malaya itu membantu Josep Gombau untuk berdepan 30 perlawanan di Liga Hong Kong sebelum mendapat tawaran menjadi sebahagian daripada barisan kejurulatihan skuad kebangsaan Hong Kong.
Kerjasama Josep Gombau denngan Pau Marti tidak terhenti di situ apabila mereka berdua dipertemukan di Liga Australia bersama Adelaide United.
Kini Josep Gombau mengendalikan pasukan muda Aston Villa dengan mempunyai banyak pengalaman di sekitar rantau Asia.
Guillermo Amor beraksi bersama FC Barcelona semasa bergelar pemain.
2. Guillermo Amor Martinez
Bekas pemain FC Barcelona, Guillermo Amor Martinez turut pernah menjadi guru kepada Pau Marti selepas dia cemerlang membantu Josep Gombau.
Kecemerlangan Pau Marti itu membuka lebaran baharu buat pengendali sementara Harimau Malaya menyertai sistem kelab gergasi Sepanyol, FC Barcelona.
Selepas meninggalkan Adelaide United, Guillermo Amor memilih Pau Marti sebagai pembantunya untuk mencungkil bakat baharu FC Barcelona.
Antara bintang muda yang pernah mendapat sentuhan Pau Marti ialah Ansu Fati, Adrian Bernabe, Riqui Puig Inaki Pena dan beberapa pemain lain lagi.
3. Xavier Garcia Pimienta
Sebelum berkelana ke Malaysia, Pau Marti pernah berada dalam barisan kejurulatihan Xavier Garcia Pimienta yang kini merupakan ketua jurulatih Sevilla FC.
Untuk rekod, Xavier Garcia pernah menjulang trofi UEFA Youth League bersama FC Barcelona B-19 pada musim 2017/18.
Bersama Xavier Garcia, Pau Marti yang dilantik menjadi pembantu jurulatih FC Barcelona B itu mengharungi sebanyak 102 perlawanan musim 2018 sehingga 2021.
Sukar untuk naik pangkat menjadi pengendali utama FC Barcelona, akhirnya Xavier Garcia berhijrah ke kelab lain iaitu UD Las Palmas pada musim 2022 sebelum Sevilla mendapatkannya awal bulan ini (1 Julai). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram