
SEHINGGA hari ini, gaya penembak dari Turkiye, Yusuf Dikec yang berentap dalam Olimpik 2024 terus menjadi bahan bualan apabila dia kelihatan bersahaja ketika bertanding.
Gayanya yang tenang dengan memasukkan tangan ke dalam poket dan tidak mengenakan sebarang kelengkapan khas membuktikan atlet berkenaan memiliki pengalaman cukup berbeza.
Tidak cukup dengan itu, sikapnya yang bersahaja membuahkan hasil apabila peserta berusia 51 tahun tersebut tidak pulang dengan tangan kosong selepas meraih pingat perak dalam kategori 10 meter pistol angin campuran pada 30 Julai lalu.
BACA LAGI: [VIDEO] Gaya santai menang perak Olimpik, Yusuf Dikec rupanya bekas anggota tentera
BACA LAGI: Olimpik 2024: Regu lelaki sumbang pingat pertama buat Malaysia
Yusuf (kanan) dan Sevval menghadiahkan pingat perak buat Turkiye. — Agensi
Pencapaian berkenaan dicatatkan selepas Yusuf dan pasangannya, Sevval Ilayda Tarhan tewas kepada gandingan dari Serbia, Zorana Arunovic dan Damir Mikec.
Meskipun tewas, wakil Turkiye itu masih menjadi bahan bualan selepas fotonya ketika bertanding tersebar sehingga popularitinya menutupi kekecewaan dalam perlawanan akhir tersebut.
Namun, apa yang ramai tidak tahu adalah apabila pasangan Yusuf dalam aksi tersebut, Sevval juga mengenakan gaya serupa dengan tangan kirinya diletakkan ke dalam poket seluar.
Perkara itu disedari pengguna Facebook Tim Payne yang melihat tumpuan terhadap gandingan dari Turkiye itu lebih diberikan media sekitar Asia.
"Sedikit menarik untuk mengatakan bahawa tumpuan dan usikan terhadap pemenang pingat perak dalam Olimpik, terutama terhadap pasangan wanita hanya dibuat media sekitar Asia.
Sevval sering menyertai pertandingan menembak sejak dalam kategori junior. — Agensi
"Yusuf Dikec dan Sevval Ilayda Tarhan meraih pingat perak dalam kategori 10 meter pistol angin campuran, ia adalah kali pertama Turkiye meraih pingat dalam sukan menembak di Olimpik," katanya.
Berdasarkan gambar yang disertakan dalam hantaran berkenaan, Sevval juga kelihatan tenang seperti Yusuf, namun mengenakan kelengkapan lebih khas berbanding pasangannya itu.
Tetapi, ia tidak menutup kisah bahawa kedua-dua penembak Turkiye itu sudah melalui persiapan serba lengkap sehingga membolehkan mereka berada di kedudukan kedua.
Untuk rekod, Sevval yang merupakan atlet berusia 24 tahun pernah menyertai beberapa pertandingan menembak, seperti di Kejohanan Dunia dan Kejohanan Eropah.
Di peringkat Olimpik pula, ia merupakan penampilan pertamanya dengan pingat perak yang diraih tersebut sudah tentu akan terus membakar semangatnya pada tahun-tahun akan datang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram