TPM, Menteri Kabinet ucap tahniah buat Aaron-Wooi Yik menangi pingat gangsa


  • Primer
  • Isnin, 05 Ogos 2024

Zahid mengucapkan tahniah atas kejayaan Aaron-Wooi Yik dalam meraih pingat pertama di Paris.

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah kepada pasangan beregu badminton negara Aaron Chia dan Soh Wooi Yik kerana berjaya meraih pingat gangsa di Sukan Olimpik Paris 2024, pada Ahad (4 Ogos).

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyifatkan kemenangan tersebut bukan sahaja menamatkan penantian pingat buat negara di temasya sukan itu, malah mengulangi pencapaian sama mereka di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

BACA LAGI: Belum ada calon, Ketua Setiausaha Negara baharu diumum dalam masa terdekat — PM Anwar

BACA LAGI: Pemergian Allahyarham Jay Jay kehilangan besar industri muzik tanah air — Fahmi Fadzil

"Semasa berada di Himpunan Pembebasan Palestin yang bertempat di Stadium Axiata Arena, saya telah menerima perkhabaran gembira dari Paris, pasangan beregu badminton negara berjaya meraih pingat gangsa di Sukan Olimpik Paris 2024.

"Kemenangan ini amat bermakna buat Kontinjen Malaysia apabila mereka berjaya menewaskan pasangan Denmark, Kim Astrup dan Anders Skaarup Rasmussen dengan keputusan 16-21, 22-20, 21-19.

"Anda berdua telah membuktikan bahawa dengan semangat juang yang tinggi dan dedikasi yang tidak berbelah bahagi, kejayaan pasti dapat dicapai. Kami di Malaysia berasa amat bangga dengan pencapaian anda. Anda telah mengharumkan nama negara di pentas dunia dan menjadi inspirasi kepada semua rakyat Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof turut mengucapkan tahniah atas kejayaan atlet negara dalam meraih pingat pertama di Paris.

"Terima kasih Aaron Chia dan Soh Wooi Yik. Kita Semua Team MAS,” kata Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menerusi hantaran di laman Facebook.

Turut berkongsi ucapan tahniah kepada pasangan beregu badminton negara itu adalah Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Timbalannya, Teo Nie Ching; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Pada Ahad, gandingan Aaron-Wooi Yik yang ketinggalan 16-20 pada set kedua menentang pasangan dari Denmark, berjaya mengejar empat mata untuk mengheret perlawanan ke set penentuan sebelum memenangi aksi penentuan gangsa 16-21, 22-20, 21-19 di Porte de La Chapelle Arena, Perancis. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram