SATU kontroversi hangat timbul pada temasya Olimpik kali ini, iaitu dalam kategori tinju wanita melibatkan wakil Algeria, Imane Khelif dan peserta dari Itali, Angela Carini.
Ini selepas peninju dari Itali itu mengambil keputusan untuk menarik diri selepas hanya 46 saat beraksi berikutan dua tumbukan yang diterima daripada lawannya.
Lebih mendukacitakan lagi, keputusan itu dibuat berserta tangisan air mata dengan dia jelas tidak berada dalam keadaan terbaik, baik dari segi fizikal mahupun mental.
BACA LAGI: Misi emas Olimpik makin menyala, Pearly Tan-M. Thinaah tumpaskan pasangan Korea ke separuh akhir
BACA LAGI: [VIDEO] Gaya santai menang perak Olimpik, Yusuf Dikec rupanya bekas anggota tentera
Carini (biru) memilih untuk mengetengahkan faktor kesihatan dalam membuat keputusan. — AP
Keputusan itu menimbulkan pelbagai spekulasi memandangkan atlet berusia 25 tahun tersebut sekali gus memadam harapannya untuk mencipta nama dalam temasya Olimpik.
Namun, persoalan tersebut terjawab selepas Carini mendedahkan dia tidak pernah menerima tumbukan sekuat yang diterima daripada Khelif sepanjang kariernya.
"Saya amat kecewa, saya sertai sukan ini demi nama bapa saya. Saya sering diingatkan bahawa saya merupakan seorang pahlawan, tetapi kali ini, saya terpaksa menarik diri atas faktor kesihatan. Saya tidak pernah rasa ditumbuk sekuat sebegini.
"Saya sering berbangga untuk bersaing buat negara atas dasar kesetiaan. Namun, saya tidak dapat melakukannya disebabkan saya tidak boleh lagi beraksi," katanya.
Penegasan itu membuka mata orang ramai mengenai status Khelif yang satu ketika dahulu menimbulkan kontroversi apabila dia pernah gagal dalam ujian pengesahan jantina.
Kegagalan tersebut pernah menyaksikannya tersingkir daripada Kejohanan Dunia pada 2023, namun dibenarkan untuk bersaing dalam temasya Olimpik Paris.
Situasi berkenaan sudah tentu berhubung kait dengan keputusan Carini menarik diri sehingga wakil Itali terbabit mahu mengambil tindakan undang-undang.
"Saya tidak kalah hari ini, tetapi saya menarik diri kerana mahukan keadilan. Saya tidak pernah berasakan tumbukan seperti itu yang agak janggal bagi seorang wanita," tegasnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram