BARU-BARU ini, penyerang muda Johor Darul Ta'zim (JDT), Fergus Tierney membuat kejutan apabila diumumkan sebagai bintang baharu kelab Liga 2 Thailand, Chonburi FC bagi membantu memperkasakan lagi jentera serangan pasukan itu.
Perpindahan Tierney ke Thailand antara berita yang tidak dijangka penyokong susulan tiada khabar angin mengaitkan penghijrahan pemain JDT II itu ke mana-mana pasukan sehinggalah Tierney dilihat menghadiri majlis pengenalan pemain baharu Chonburi pada Jumaat lalu.
Nama Tierney bukan lagi suatu yang asing buat para peminat bola sepak tempatan, selepas dia menyerlah buat JDT II di kejohanan Piala MFL sehingga akhirnya berhasil memikat kem skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara.
BACA LAGI: Media Korea Selatan kecoh KPG undur diri jadi pengendali Harimau Malaya
Selepas kira-kira seminggu bersama Chonburi, Tierney membuktikan sentuhan penyudahnya di saingan Liga Thailand apabila membuka akaun jaringan ketika aksi persahabatan menentang VRN Muangnont.
Selain Tierney, perpindahan pemain JDT ke liga luar negara itu dikhabarka akan berlaku lagi apabila timbul desas-desus mengatakan Harimau Selatan akan melepaskan pemain mereka ke saingan Liga Vietnam.
Khabar angin pasukan Liga Vietnam iaitu Ho Chi Minh City akan menerima tenaga baharu dari Harimau Selatan mula menjadi topik perbualan penyokong selepas hantaran dari wartawan SNE Sports, Offeris Wichitchote.
"Ho Chi Minh City akan menandatangani seorang pemain kebangsaan Malaysia untuk beraksi dalam saingan Liga Vietnam bagi mengharungi musim 2024/2025. Nantikan," katanya juga memberi bayangan pemain itu dari skuad Harimau Selatan.
Junior masih belum merekodkan sebarang penampilan bersama JDT pada musim ini. — Facebook/JDT
Meskipun tiada sebarang pengesahan rasmi dari JDT mahupun wartawan berkenaan mengenai identiti pemain baharu itu sudah mula menjadi teka-teki dalam kalangan penyokong Harimau Selatan.
Menjengah di ruangan komen, antara pemain yang dipetik akan mewarnai Liga Vietnam nanti ialah Mohamadou Sumareh, Junior Eldstal selain pemain muda dari skuad Piala MFL yang mungkin mengikut jejak langkah Tierney berhijrah.
Sumareh dan Junior menjadi pemain yang paling wajar untuk bermain di Liga Vietnam musim 2024/2025 susulan mereka berdua masih bergelut untuk mendapatka minit permainan bersama JDT setakat ini.
Melihat statistik perlawanan, Sumareh hanya tampil dalam satu perlawanan Loga Super menentang Pahang dan Junior pula tidak mendapat peluang untuk beraksi bagi mana-mana perlawanan domestik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram