Aksi badminton Israel dan Nepal tak pernah ada dalam 'playlist' Siaran Olimpik 4 RTMKlik — Suhaimi Sulaiman


  • Massa
  • Jumaat, 02 Ogos 2024

Suhaimi berkata, RTM kemudiannya bertindak menyiarkan acara bola baling dengan segera.

KETUA Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman menegaskan Radio Televisyen Malaysia (RTM) tidak pernah ada rancangan untuk menyiarkan perlawanan badminton melibatkan wakil dari negara haram Israel dan Nepal yang didakwa secara tidak sengaja disiarkan kira-kira lima minit di Saluran Olimpik 4 di RTMKlik pada Rabu.

Dalam penjelasan yang dibuat menerusi akaun media sosialnya, beliau berkata, perkara itu terjadi selepas terdapat kekosongan siaran antara perlawanan hoki dan judo dalam 'playlist' saluran tersebut.

Perkara itu terjadi berikutan perlawanan hoki tamat lebih awal daripada yang dijadualkan dan perlawanan judo belum bermula.

BACA LAGI: Paris 2024: 'Debut' pengantin baharu buka langkah kemenangan Malaysia di gelanggang badminton

BACA LAGI: Jangan hampa pulang tangan kosong, skuad badminton ada sasaran lebih besar di Olimpik

"Saya percaya kepada staf-staf saya di unit sukan, mereka adalah profesional dan mereka tidak akan pernah melakukan perkara sebegitu.

"Sepatutnya, apa yang keluar di Saluran 4 itu adalah perlawanan hoki diikuti dengan judo dan memang tidak ada dalam playlist itu badminton.

"Tapi apa yang berlaku adalah, perlawanan hoki itu habis awal dan judo belum bermula jadi ada 'black' dalam itu dan pengurusan tidak mahu ada 'black' jadi mereka masukkan sahaja perlawanan badminton. Yang itu lah Israel lawan Nepal.

"Tetapi rakan-rakan saya di unit sukan sangat cepat, mereka membawa turun perlawanan itu kurang dari lima minit. Jadi, itulah cerita sebenarnya," jelasnya.

Screenshot 2024-08-02 202513

Terdapat persoalan dibangkitkan terhadap RTM yang didakwa kurang menyiarkan aksi Zii Jia sepanjang temasya Olimpik.

Terdahulu, satu pertembungan perseorangan lelaki melibatkan wakil dari negara haram Israel dan Nepal secara tidak sengaja disiarkan di Siaran Olimpik 4 di RTMKlik pada Rabu.

Suhaimi dalam kenyataan pada Khamis berkata, RTM kemudiannya bertindak menyiarkan acara bola baling dengan segera.

Pada Khamis, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengarahkan RTM untuk memberi kenyataan berhubung dakwaan tiada siaran langsung aksi pemain profesional badminton perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Sukan Olimpik Paris 2024.

Ia susulan seorang pengguna laman Facebook meluahkan rasa tidak puas hati apabila RTM sebagai badan penyiaran nasional tidak menyiarkan aksi Zii Jia menentang pemain ke-62 dunia dari Sepanyol Pablo Abian, sebaliknya menyiarkan perlawanan antara atlet Israel, Misa Zilberman dan atlet Nepal, Prince Dahal. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram