Ariesham beri satu lagi 'hint', Perak FC akan mengamuk musim depan


  • Podium
  • Khamis, 22 Dis 2022

CEO Perak itu mahu membawa zaman kegemilangan semula ke Perak FC. — Twitter/Perak The Yob

ROMBAKAN struktur daripada pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menyaksikan kelab-kelab Liga Perdana bakal bersaing dalam divisyen teratas bola sepak tempatan.

Ini termasuk pasukan kedua tercorot, Perak FC yang hanya berjaya mengumpul lapan mata sepanjang musim selepas dikenakan pemotongan mata berikutan isu kewangan.

Bagaimanapun, hal itu dilihat sudah diselesaikan dengan kehadiran pemilik baharu, OneXOX Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat kepada XOX Berhad.

Sejak mengambil alih, pelaburan besar mula dibuat dengan menyelesaikan segala tunggakan dan masalah gaji yang sebelum ini pernah menjatuhkan reputasi pasukan tersebut.

Setakat ini, The Bos Gaurus (TBG) mula melakukan rombakan besar-besaran bermula dengan kehadiran ketua jurulatih baharu, Lim Teong Kim yang terkenal dalam menyuburkan bakat-bakat muda.

Tidak cukup dengan itu, bagi mempersiapkan pasukan untuk musim depan, beberapa pemain turut dibawa masuk untuk meningkatkan kualiti skuad termasuk penjaga gawang, Bryan See dan penyerang sayap, Oswyn Lim.

Meskipun terdapat persoalan mengenai kemampuan skuad dalam kalangan penyokong kelab, pihak pengurusan dilihat tidak meletakkan sasaran tinggi bagi Liga Super 2023.

Bagaimanapun, baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak FC, Bobie Farid Shamsudin sepertinya mahu menyuntik perubahan secara lebih mendalam demi kelangsungan pasukan.

Dalam satu hantaran di laman peribadi Facebooknya, dia menyatakan bahawa padang di Stadium Manjung, Perak lebih baik berbanding Stadium Negeri Perak.

Keadaan padang itu dilihat mula menarik perhatian Bobie dan pihak pengurusan secara keseluruhan selepas aksi persahabatan bersama Manjung City FC pada Rabu.

WhatsApp Image 2022-12-22 at 11.25.06

Hantaran Ariesham berjaya mencuri perhatian penyokong Perak FC.

"Mantap betul padang Stadium Manjung ni... Lebih baik dari Stadium Perak," katanya.

Hal itu seakan-akan memberi bayangan bahawa terdapat perubahan radikal akan dibuat terhadap pasukan apabila kualiti padang dan fasiliti kelab pernah terjejas.

Melihat kepada ruangan komen, terdapat beberapa sokongan terhadap perkara itu dengan seorang penyokong bola sepak tempatan, Mie D'Mulut berminat akan perubahan itu.

"(Stadium Manjung) Diakui oleh kebanyakan jurulatih termasuk juga dari Singapura, kalau ada modal boleh bangunkan satu lagi stadium sendiri, mantap kalau jadi kenyataan," katanya.

Bagi Yazid Ikhwan Bahari, dia turut menyokong sekiranya harapan itu dijadikan realiti dengan mutu Stadium Perak kerap menjejaskan rentak permainan pasukan.

"Baru best kalau dapat tengok padang seperti Stadium Manjung, setiap kali buat hantaran boleh sampai ke rakan sepasukan," katanya.

Perkara itu turut dipersetujui Tok Sidang Hamlau dengan mendesak perubahan dibuat bagi membolehkan reputasi Perak FC dapat dijaga dan melonjak dalam masa akan datang.

"Tukar sahajalah padang stadium di Ipoh itu kerana saya sendiri lihat tidak ubah seperti bendang di sawah. Mintalah pihak pengurusan membuat perubahan dengan cepat," katanya.

Sebelum ini, Stadium Manjung merupakan fasiliti utama bagi PKNP FC sebelum pasukan itu akhirnya dirombak untuk menjadi skuad simpanan kepada Perak FC.

Namun, setakat ini, Perak FC tidak mempunyai cita-cita untuk mengubah lokasi utama mereka, namun berkemungkinan mengubah kualiti padang di Stadium Negeri Perak bagi Liga Super musim depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram