GANDINGAN beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya bangkit daripada ketinggalan satu set untuk memastikan impian mara ke separuh akhir Sukan Olimpik 2024 masih menyala.
Berdepan beregu India, Chirag Shetty-Satwiksairaj Rankireddy, gandingan beregu nombor satu negara itu berjaya memenangi perlawanan 13-21, 21-14 dan 21-16.
Kejayaan mereka layak ke separuh akhir itu mengulangi prestasi di Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun apabila mereka meraih pingat gangsa.
BACA LAGI: Misi emas Olimpik makin menyala, Pearly Tan-M. Thinaah tumpaskan pasangan Korea ke separuh akhir
BACA LAGI: Chong Wei jadi 'ramuan' kemenangan Pearly-Thinaah
Set pertama menyaksikan gandingan pilihan ketiga dari India itu menunjukkan penguasaan baik dengan permainan bertenaga yang berjaya memerangkap pasangan negara.
Tanpa banyak masalah, Shetty-Rankireddy berjaya merampas set pertama dengan 21-13.
Memasuki set kedua, gandingan negara meningkatkan kualiti permainan dan mereka berjaya membalas semula kekalahan dialami mereka pada aksi pertama.
Dengan permainan lebih kemas, Aaron-Wooi Yik berjaya menang 21-14 untuk mengheret ke set penentuan.
Di set ketiga, gandingan Malaysia dan India bertarung dengan cukup sengit hingga pada pertengahan saingan, Aaron-Wooi Yik ketinggalan 9-11.
Namun begitu, mereka terus bangkit walaupun gandingan India terus menekan tetapi 18-16, segalanya mula terbuka luas buat Malaysia.
Hasilnya, Aaron-Wooi Yik berjaya meraih kemenangan sekali gus ke separuh akhir untuk mencipta peluang sekali lagi meraih pingat.
Gandingan negara bakal berdepan sama ada Liang Wei Keng-Wang Chang dari China atau pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram