Tak sempat cetak gol, KDN FC lepaskan khidmat bintang termahal


  • Podium
  • Rabu, 31 Jul 2024

Muzungu (tengah) tidak berpeluang untuk mencatatkan gol pertama bersama Kijang Emas. — Facebook/Kelantan Darul Naim

CHADRACK Muzungu hadir ke kem Kelantan Darul Naim (KDN) FC dengan harapan bakal menjadi salah satu penggempur buat pasukan Pantai Timur namun percaturan dari barisan kejurulatihan dan pengurusan merekrutnya tidak membuahkan hasil.

Selepas menyarung jersi KDN FC selama empat bulan, pemain antarabangsa Congo berkenaan akhirnya menjadi pemain pertama ditamatkan kontrak oleh pasukan Kijang Emas berkuat kuasa pada Rabu.

Presiden KDN FC, Rozi Muhamad berkongsi bahawa perpindahan Muzungu tidak berjalan seperti dirancang selepas dia mengalami kecederaan sehingga menyaksikan dia gagal menembusi skuad utama termasuk disisihkan pada tiga perlawanan terakhir Liga Super bulan ini.

BACA LAGI: KDN FC tidak main-main, saham import baharu lagi tinggi dari Bergson dan peledak baharu Selangor

BACA LAGI: Bukan sekadar ubah nama, KDN FC enggan terus dilihat pasukan picisan

"Pihak pengurusan ingin mengucapkan terima kasih kepada Muzungu atas usaha dan khidmat kepada pasukan dan kelab. Selamat maju jaya dalam karier bola sepak dan mendoakan kejayaan beliau," katanya dalam kenyataan kepada media pada Khamis.

Keputusan melepaskan khidmat Muzungu diterima baik oleh penyokong selepas ramai yang kecewa dengan mutu persembahannya meskipun tiba dengan nilai pasaran setinggi 500,000 Euro (RM2.5 juta) dan berada pada kedudukan ke-8 dalam kalangan pemain di saingan Liga Super.

Lebih mengejutkan apabila kedudukan penyerang sayap kiri itu jauh lebih tinggi dari penyerang terbanyak Harimau Selatan, Bergson da Silva dan penyerang baharu Selangor FC, Ronnie Fernandez.

Bayangkan sahaja, setakat tiga penampilan liga, pemain berusia 27 tahun berkenaan tidak mencatatkan sebarang jaringan selain pernah gagal menyempurnakan penalti ketika berdepan Sabah FC.

Selain itu, Muzungu juga tiba ke KDN FC dengan penuh jangkaan susulan mempunyai pengalaman beraksi di Eropah dengan mewakili UD Almeria (Sepanyol) dan US Boulogne (Perancis) sebelum menjejakkan kaki ke bumi Malaysia.

Pastinya, kehilangan Muzungu ini akan membuka ruang buat pihak pengurusan membawa masuk pemain baharu menjelang jendela perpindahan kedua pada bulan depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram