[VIDEO] Import baharu JDT pernah beraksi dengan anak Zinedine Zidane, ex bintang Kelantan


  • Podium
  • Isnin, 29 Jul 2024

Enzo menjadi rekrut terbaharu JDT untuk beraksi di pentas Asia pada September nanti.

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) telah mengumumkan kemasukan dua import baharu menjelang jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) yang akan dibuka pada bulan depan.

Duo import baharu JDT itu ialah Enzo Lombardo (Perancis) dan Park Jun-heong (Korea Selatan) yang akan memperkuatkan Harimau Selatan dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).

Kehadiran Jun-heong mungkin tidak begitu gah jika dibandingkan Enzo yang banyak menghabiskan kariernya di bumi Sepanyol.

BACA LAGI: Bekas anak didik Steven Gerrard dikaitkan dengan kelab Lembah Klang

BACA LAGI: Muda-muda lagi aura pemimpin sudah ada, Arif Aiman tak keseorangan galas tanggungjawab kapten

Walaupun tidak pernah beraksi di divisyen tertinggi liga bola sepak Sepanyol, namun kualiti LaLiga 2 (divisyen kedua) jauh meninggalkan Liga Super.

Ini kerana ramai bintang-bintang bola sepak terkemuka seperti Santi Cazorla, Lucas Boye, Leo Baptistao, Alvaro Carrillo pernah beraksi di divisyen kedua negara itu.

Malah Enzo sendiri pernah beraksi bersama anak legenda Perancis, Zinedine Zidane iaitu Luca Zidane ketika dia mewakili Racing Santander secara pinjaman daripada RCD Mallorca pada musim 2019-2020.

Bukan itu sahaja, Enzo juga pernah menjadi rakan sepasukan bekas import TRW Kelantan FC, Nuha Marong pada musim yang sama.

Ketika itu Nuha menyertai Racing Santander secara percuma daripada CD Atletico Baleares selepas tampil cemerlang menjaringkan 10 gol dan lima bantuan jaringan dalam 34 penampilan.

Bersama Racing Santander, Enzo sempat melakukan 68 penampilan dan menghasilkan enam gol serta sembilan 'assist'.

Mempunyai corak permainan mirip Eden Hazard, pastinya Enzo akan menjadi harapan baharu JDT untuk menggalas cabaran Harimau Selatan ke ACLE lebih jauh pada tahun ini.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram