BINTANG Judo Jepun, Uta Abe menangis teresak-esak selepas mengalami kekalahan pertama dalam tempoh lima tahun pada acara rasmi apabila tewas secara mengejut kepada Diyora Keldiyorova dari Uzbekistan melalui ippon (skor tertinggi dalam acara judo) di Sukan Olimpik Paris pada Ahad.
Keldiyorova menamatkan pertandingan dalam pusingan 16 itu dengan baki masa lebih tiga minit menerusi acara 52 kilogram (kg) dengan meninggalkan juara dunia empat kali dan Juara Olimpik 2021 itu dalam kesedihan.
Menerusi video tular di media sosial, atlet kesayangan Jepun itu terjatuh ke dalam pelukan jurulatihnya dan menangis selama beberapa minit sehingga kelihatan hampir tidak mampu berdiri di arena Champ-de-Mars dekat Paris, Perancis.
BACA LAGI: 'Selangor akan dominan lawan Sri Pahang, tak selesai masalah jika pecat Fandi Ahmad'
BACA LAGI: ‘JDT bukan tempat pemain dibangunkan dalam Malaysia’
Tangisan teresak-esak dari Uta Abe bukan hanya menyedihkan peminat di negaranya, malah penyokong di arena turut sebak melihat atlet muda berkenaan. Namun, orang ramai terus bersorak untuknya.
Kekalahan Uta Abe bagaimanapun tidak menghilangkan rasa hormat penyokong sukan dunia terhadap atlet berkenaan dan seluruh komuniti Judo juga masih melabel dia sebagai 'Princess of Judo'.
Selepas beberapa jam kekalahan Uta Abe, abangnya pula iaitu Hifuma Abe pula memenangi pingat emas Olimpik kedua berturut-turut dalam kategori 66 kg lelaki Ahad di Paris.
"Ini adalah kenangan yang tidak dapat saya lupakan. Adik saya kalah hari ini, dan ia adalah hari yang sangat sukar, tetapi saya bekerja keras untuk melupakan perasaan sedih kerana tahu bahawa saya perlu melakukan yang terbaik untuk menebusnya.
"Saya rasa saya tiada pilihan selain melakukan yang terbaik sebagai abang. Saya dapat mengawal emosi saya," katanya memetik laporan media luar negara.
Hifumi menewaskan pemain Brazil, Willian Lima melalui ippon dalam perlawanan akhir di Arena Champ-de-Mars untuk memulihkan kedukaan keluarganya yang tercalar selepas usaha adik-beradik Abe untuk memenangi pingat emas pada hari sama.
Sebelum ini, adik beradik Abe itu pernah merekodkan sejarah dalam sukan Judo apabila memenangi pingat pada hari sama di Olimpik Tokyo pada 2021. Pencapaian itu bagaimanapun tidak berulang pada temasya kali ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram