[VIDEO] Lepas hentam botol, Milos 'disekolahkan' Ifwat, dipesan jaga emosi


  • Podium
  • Sabtu, 27 Jul 2024

Tangkap layar daripada video memaparkan perbualan hangat antara Ifwat Akmal dan Milos Gordic di bangku simpanan.

HARAPAN Kedah Darul Aman (KDA) FC untuk meraih tiga mata penuh di laman sendiri pada Jumaat tidak kesampaian selepas mereka hanya mencatatkan keputusan seri ketika berdepan Kuching City FC.

Jaringan lewat penyerang pasukan pelawat, Jordan Mintah menyaksikan perlawanan berakhir 1-1 selepas skuad Sang Kenari berada di depan menerusi gol Hasbullah Abu Bakar.

Kekecewaan sudah tentu dirasai penyokong Hijau Kuning yang mengharapkan kemenangan untuk meletakkan mereka dalam kelompok tiga pasukan teratas sebelum Selangor FC beraksi.

BACA LAGI: 'Sifu' Nafuzi Zain optimis, Milos Gordic jadi aset penting Kedah kutip 3 mata lawan Kelantan

BACA LAGI: Milos Gordic ada masa kurang sebulan buktikan kemampuan jika enggan digantikan 3 calon ideal

453009143_525308669850315_4060256467157249015_n

Milos tidak membawa sebarang impak dalam aksi menentang Kuching City FC. Facebook/KDA FC

Namun, dengan keputusan seri direkodkan, KDA FC kini berada di tangga kelima selepas mengumpul tujuh mata daripada enam perlawanan setakat ini.

Bagaimanapun, terdapat insiden lebih besar yang menjadi bahan bualan dalam kalangan penyokong Sang Kenari melibatkan dua pemain kelab Utara tanah air berkenaan.

Ini selepas tular satu rakaman melibatkan penjaga gol, Ifwat Akmal dan pemain import, Milos Gordic selepas penyerang itu dikeluarkan ketua jurulatih, Nafuzi Zain.

Dalam rakaman yang dikongsikan di akaun TikTok Fakrul Naimm itu, pemain berdarah Serbia berkenaan jelas kelihatan kecewa selepas sekali lagi gagal membawa impak buat pasukan.

Manakan tidak, dia yang sekali lagi berada dalam kesebelasan utama gagal untuk menamatkan pencarian bagi gol sulung dalam saingan Liga Super setakat ini.

Jadi, untuk melepaskan rasa kurang berpuas hati berkenaan, Milos bertindak melempar botol air ketika bersandar di bangku simpanan.

Tindakan itu menerima perhatian Ifwat yang duduk berhampiran dengan pemain senior Sang Kenari berkenaan meminta penyerang tersebut agar tidak beremosi dengan keputusan Nafuzi.

Meskipun tiada penjelasan mana-mana pihak mengenai situasi itu, bahasa tubuh ditonjolkan penjaga gol berusia 27 tahun berkenaan seakan-akan menceritakan perbualan antara mereka.

Kehangatan berkenaan turut disedari pengendali KDA FC itu, namun dia tetap tenang memandangkan tiada kehangatan tercetus antara kedua-dua pemain tersebut.

Ifwat boleh dianggap sebagai figura senior dan berpengaruh dalam skuad Sang Kenari kerana dia sudah bersama pasukan itu sejak 2016.

Meskipun sudah kehilangan tempat kepada Kalamullah Al-Hafiz, peranannya masih penting untuk memastikan pemain kekal berada di tahap terbaik dalam setiap hari perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram