Atlet Malaysia terima durian runtuh, RM2 juta habuan pemenang pingat emas pertama


  • Podium
  • Jumaat, 26 Jul 2024

Peminat sukan tanah air boleh menyaksikan upacara pembukaan Sukan Olimpik Paris 2024 akan berlangsung pada 7.30 malam ini (1.30 pagi Sabtu, waktu Malaysia). — Facebook/KBS 

WIRA Wirawati negara yang berjuang di temasya Sukan Olimpik Paris 2024 bakal menerima durian runtuh apabila difahamkan akan mendapat ganjaran berjumlah RM2 juta daripada sektor korporat sekiranya menjadi pemenang pingat emas pertama tanah air.

Perkara itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan media Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang memaklumkan sebanyak tiga syarikat korporat iaitu Yinson Holdings Berhad, Matrix Concepts Holdings Berhad dan MJ Health Screening Centre menyatakan minat mereka untuk taja wang ganjaran.

Bagaimanapun, wang ganjaran berkenaan akan dibahagikan sama rata antara atlet tanah air sekiranya lebih daripada seorang wira atau wirawati Malaysia memenangi pingat emas pada temasya empat tahun sekali itu.

BACA LAGI: [VIDEO] Air mata di bumi Paris, trio memanah wanita sekadar tempat kedua tercorot

BACA LAGI: Azizulhasni Awang imbau semula detik ibarat 'telur di hujung tanduk'

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh merakamkan setinggi penghargaan kepada syarikat korporat yang sudi membantu dan menglibatkan diri dalam menyokong 26 atlet Malaysia di Olimpik Paris 2024 ini.

“Terima kasih saya ucapkan kepada semua penaja di atas tajaan yang diberikan dan kepercayaan bahawa atlet Malaysia mampu untuk membawa pulang emas pertama buat negara.

"Saya yakin semua atlet akan berusaha memberikan yang terbaik di bumi Paris nanti," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.

Dalam pada itu, Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 iaitu Datuk Hamidin Mohd Amin turut melahirkan perasaan gembiranya apabila banyak syarikat korporat tampil untuk beri sokongan buat atlet negara.

WhatsApp Image 2024-07-26 at 14.24.49

Kontinjen Malaysia diperkuatkan dengan 26 atlet akan mengibarkan cabaran Sukan Olimpik Paris 2024 dalam sembilan jenis sukan seperti akuatik terjun dan renang, pelayaran, menembak, berbasikal trek dan lebuh raya, angkat berat, badminton, golf, memanah dan juga olahraga. — Facebook/KBS

"Kami sangat teruja kerana ramai badan korporat tampil memberikan sokongan mereka kepada kontinjen negara. Semua insentif ini berperanan sebagai pendorong yang kuat.

"Kita berharap atlet negara akan memberikan persembahan yang memberikan inspirasi untuk memenangi pingat emas pertama negara," jelasnya Hamidin.

Sebelum ini, Top Residency memberikan sumbangan sebanyak RM1 juta dalam nilai hartanah iaitu pangsapuri perkhidmatan mewah.

Manakala, Lim Keng Heng yang merupakan Pengerusi Eksekutif Senheng New Retail Berhad turut menjanjikan RM1 juta kepada pemain kebangsaan Aaron Chia, Soh Wooi Yik dan Chen Tang Jie di bawah program mereka iaitu Bakat Badminton SS.

Selain itu, pengeluar kereta dari negara China iaitu Chery Malaysia turut tampil menghadiahkan kenderaan utiliti sukan (SUV) kepada atlet yang memenangi sebarang pingat di Sukan Olimpik nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram