'Bukan pakai acara sekolah, rekaan perlu lebih teliti dan bersedia', pereka fesyen ulas isu pakaian kontinjen Olimpik


  • Hiburan
  • Khamis, 27 Jun 2024

Pemilihan corak dan warna untuk pakaian rasmi atlet Olimpik menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat.

PEREKA fesyen seharusnya lebih bersedia dalam menghasilkan sesuatu rekaan dan perlu lebih teliti dengan menitikberatkan elemen yang penting untuk melambangkan kekuatan skuad yang mewakili negara.

Sebagai pereka fesyen terkenal, Khairulazlan Abd Karim menyifatkan selain rekaan, pelbagai aspek lain perlu diberi penekanan termasuk jenis fabrik yang digunakan dalam pembikinan pakaian rasmi kontinjen negara.

"Secara keseluruhan, persediaan terlihat macam tak cukup waktu kerana awal-awal persembahan, patung pun diletakkan dalam keadaan susun atur yang tidak berapa baik.

BACA LAGI: 'Kalau dia tahu betapa susahnya masuk Olimpik', bekas atlet negara kecewa kenyataan Hamidin

BACA LAGI: Cipta busana Naomi dan Lady Gaga, Adele dan Beyonce kini dalam ‘list’ Rizman Ruzaini

"Kualiti material yang digunakan bagi menghasilkan pakaian berkenaan juga dilihat seakan-akan tidak bertaraf premium.

"Nampak macam nipis sangat. Material tak nampak istimewa. Nampak macam biasa sahaja sedangkan itu adalah sesuatu yang perlu diberi penekanan," katanya kepada Majoriti.

Khairulazlan berkata sedemikian untuk mengulas mengenai isu pakaian rasmi kontinjen negara ke Sukan Olimpik 2024 yang dikecam hebat di media sosial kerana disifatkan seperti pakaian sukan sekolah.

Pada Rabu, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin tampil menjelaskan bahawa mereka menggunakan warna emas pada Sukan Olimpik kali ini kerana warna oren yang lama itu telah digunakan sejak 2004.

Meskipun begitu, bagi Khairulazlan, dia beranggapan bahawa ia bukanlah soal pemilihan warna tetapi cara rekaan itu dihasilkan.

"Motif dan corak yang memberi makna cukup besar," katanya.

WhatsApp Image 2024-06-27 at 2.45.03 PM

Khairulazlan berharap agar sesuatu rekaan pakaian dibuat dengan penuh penelitian.

Pensyarah bagi Fakulti Seni Reka Fesyen, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor itu juga berpendapat, elemen Harimau Malaya boleh diterapkan dalam rekaan pakaian kontinjen negara.

"Harimau yang menjadi simbol kepada negara kita, kekuatan, kuat yang berdaya tahan menyerupai karakter atlet Malaysia. "Sebab ini adalah refleksi kepada negara dan juga atlet negara.

"Jadi menimbulkan pertanyaan kenapa reka baju itu tidak ketengahkan lagi belang harimau itu?," soalnya.

Khairulazlan juga berharap agar pihak terbabit memberi peluang kepada individu lain yang memiliki bakat untuk menghasilkan baju yang lebih istimewa bagi menghadiri Sukan Olimpik 2024.

"Pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) boleh explore secara terbuka kepada orang awam atau sesiapa yang berminat untuk berkolaborasi untuk membuat rekaan," katanya.

WhatsApp Image 2024-06-27 at 6.08.23 PM

Pakaian Malaysia yang direka oleh Khairulazlan semasa Majlis Pembukaan Olimpik Tokyo 2020.

Sebelum ini, Khairulazlan pernah menghasilkan peragaan untuk Olympic Tokyo 2020 Malaysian Kontingen sehinggakan dipuji oleh ramai artis dan orang kenamaan.

Meskipun terdapat segelintir individu yang mengecamnya, Khairulazlan tidak hanya berdiam diri dan tampil menjelaskan secara terperinci sebab pemilihan setiap rekaan yang dibuat.

"Kalau terima kecaman saya terangkan dengan jelas setiap maksud rekaan yang dibuat supaya ramai faham.

"Antara kata-kata yang saya ingat adalah daripada artis Michelle Yeoh. Dia cakap dekat saya inilah design yang paling cantik yang pernah dihasilkan untuk atlet Olimpik," katanya.

WhatsApp Image 2024-06-27 at 3.12.12 PM (1)

Tym Fatimah tampil menjelaskan isu design yang dibuat untuk sukan Olimpik 2024.

Selain itu, seorang lagi penata gaya, Tym Fatimah meluahkan rasa sedih melihat reka bentuk pakaian yang dibuat untuk sukan Olimpik 2024 itu.

"Ini bukan acara sukan sekolah bukan juga acara family day. Ini acara besar yang diperlihatkan seantero dunia," katanya kepada Majoriti.

Tym Fatimah turut menyifatkan pakaian yang dipamerkan seakan-akan dihasilkan tanpa membuat sebarang kajian.

"Pakaian yang dihasilkan baru-baru ini bukan sahaja ibarat asal boleh tetapi langsung seperti tiada kajian, tidak mengikut fesyen terkini, nilai estetika, teori warna dan komposisi," katanya.

Penasihat fesyen itu juga mempersoalkan apabila MOM tidak memilih seseorang yang pakar dalam menghasilkan pakaian penting itu.

"Kita mempunyai lambakan pereka fesyen lokal yang berjaya kenapa tidak digunakan khidmat mereka?.

"Melihat kepada pakaian kontinjen negara-negara lain, kebanyakan dihasilkan oleh pereka-pereka dari negara tersebut. Rekaan mereka bukan sahaja cantik malah tampak kemas dan very up to date," katanya.

Tambahnya, seseorang yang arif dalam reka bentuk sangat penting untuk memberi idea yang bernas sesuatu karya dipertunjukkan.

"Ini jadinya apabila kuasa untuk meluluskan diberi pada mereka-mereka yang tidak arif," katanya.

Lebih menyedihkan, Tym Fatimah melihat Jalur Gemilang yang terdapat pada baju kontinjen itu juga sudah berubah warna.

"Bukankah setiap warna di dalam Jalur Gemilang mempunyai makna tersendiri.

"Kenapa tidak ambil peduli. Sekalipun kita nak mengangkat Harimau Malaya sebagai subject matter dalam baju kontinjen tetapi warna dalam Jalur Gemilang tidak seharusnya salah," katanya.

Tym Fatimah juga bersetuju dengan pendapat Khairulazhan mengenai patung yang tidak bersesuaian untuk digunakan bagi mempamerkan rekaan itu.

"Takkanlah, dipertontonkan dengan hanya disarungkan pada patung yang maaf kalau saya cakap, patung murah.

"Rata-rata orang dalam industri fesyen tahu harga patung tersebut. Sekali pun tidak mahu menggunakan manusia sebenar, masih ada patung yang mempunyai bentuk badan atlet seperti mana yang terdapat di gedung pakaian sukan," katanya.

WhatsApp Image 2024-06-27 at 3.12.12 PM

Tym Fatimah juga merupakan seorang penata gaya dan penasihat fesyen.

Wanita yang popular dalam arena tatarias tanah air itu turut berasa bahawa persembahan yang dipamerkan dilihat seperti ala kadar sahaja.

"Apabila pilih patung yang tak sesuai, keadaan patung itu diletakkan juga nampak sangat selekeh.

"Acara gimik pula hanya dengan balutan kain hitam. Negara-negara lain siap dengan tayangan klip video yang sangat proper dan gah.

"Semasa saya student pun, bila ada assessment day, kami cukup menitikberatkan dan memberi usaha yang lebih untuk karya kami dipamerkan," katanya.

Selepas teruk dikecam, KBS memaklumkan bahawa pakaian kontinjen Malaysia yang diperkenalkan oleh MOM tidak akan digunakan pada perbarisan Majlis Perasmian Sukan Olimpik Paris 2024 yang akan membuka tirai pada 26 Julai ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram