Mahir buat 'latte art', bekas guru sanggup tinggal kerjaya pendidik demi kopi Label Hetam


Adham gigih mengusahakan perniagaan kopi Label Hetam di kios RnR Benta, Kuala Lipis, Pahang.

MINAT yang mendalam terhadap perniagaan menjadi sebab seorang lelaki sanggup menolak tawaran sebagai guru yang pernah ditawarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Lelaki berkenaan, Mohamad Adham Kamarulzaman kini menjadi pemilik bagi sebuah perniagaan kedai kopi yang bertempat di kios kawasan rehat dan rawat (RnR) Benta, Kuala Lipis, Pahang.

Menceritakan bibit awal pembabitannya dalam perniagaan kopi, Adham berkata, dia sering meluangkan masanya dengan menonton rakaman video barista membuat persediaan atau prep kopi segar di media sosial.

BACA LAGI: Tom and Jerry jadi inspirasi pelajar SMK Seksyen 24 Shah Alam cipta nama lukis potret sampai karya 'terbang' ke Jepun

BACA LAGI: Kempunan daki gunung tertinggi bersama rakan, mayat jurutera hilang 22 tahun ditemui dalam bentuk mumia

WhatsApp Image 2024-07-19 at 4.56.44 PM

Adham menghiasi kopi dengan 'latte art' yang dibuat menggunakan susu.

"Saya suka tengok video barista prep kopi di Instagram, Reels dan TikTok.

"Sebab ada prosedur untuk setiap langkah. Sampai sekarang pun saya masih suka tengok video walaupun saya juga hari-hari buat kopi," katanya kepada Majoriti.

Terdapat beberapa corak latte art yang mampu dihasilkan dengan kemahiran yang dikuasai berkat kerajinan mempelajari dan mempraktikkan seni itu.

Antaranya ialah corak berbentuk hati yang melambangkan cinta, berbentuk rosetta yang juga dikenali sebagai corak daun selain corak tulip.

WhatsApp Image 2024-07-19 at 4.56.46 PM

Adham merupakan graduan Ijazah Sarjana Pendidikan Universiti Malaya.

Pada 2019 hingga 2020, lelaki berkenaan bekerja sebagai seorang guru di Khalifah Model School Primary, Ampang, Selangor.

Manakan tidak, dia memiliki kelulusan dalam bidang pendidikan menerusi Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana dari Universiti Malaya

"Saya tinggal di Kuala Lumpur sewaktu itu kerana bekerja sebagai guru subjek Bahasa Melayu pada 2019 hingga 2020," katanya.

Bagaimanapun, disebabkan kampung halamannya diuji dengan tragedi banjir besar, dia mengakui terpaksa melepaskan kerjayanya sewaktu itu.

"Tetapi disebabkan ada kejadian banjir besar di kampung saya, Pahang pada 2021, saya terpaksa balik ke sana kerana bimbangkan keadaan keluarga. Saya pun menganggur seketika," katanya.

WhatsApp Image 2024-07-22 at 10.53.38 PM

Adham menghasilkan corak berbentuk hati di atas secawan kopi.

Selepas itu, tercetusnya idea untuk menjalankan perniagaan kedai kopi berjenama Label Hetam dengan menggunakan sedikit modal yang dimiliki.

"Saya pinjam duit ibu saya sebanyak RM1,150 dan duit simpanan yang saya ada untuk dijadikan sebagai modal awal bagi membeli mesin dan kelengkapan kopi pada 2019," katanya.

Kemudiannya, Adham mempelajari kursus pengenalan industri kopi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) selain mengambil latihan sebagai barista dengan Asean Coffee Institute (ACI).

"Menerusi kursus itu saya dapat belajar secara lebih mendalam tentang kopi dan perkara itu berguna untuk saya yang mahu melangkah sebagai pengusaha kedai kopi," katanya.

Ketika itu, Adham berkata, dia juga berjaya mendapat tawaran semula sebagai pendidik oleh KPM, namun menolaknya kerana minat yang mendalam terhadap perniagaan.

"Saya mahu fokus kepada perniagaan kerana terlalu minat berniaga.

"Masa saya jadi cikgu di sekolah swasta pun, saya bekerja sambilan juga dengan menjual jersi bola.

"Siap buat delivery sendiri ke rumah pelanggan yang membeli jersi saya," katanya.

WhatsApp Image 2024-07-19 at 4.56.45 PM

Adham sewaktu menumpang khemah rakannya bagi menjalankan perniagaan kopi di tepi jalan.

Bermula secara kecil-kecilan, Adham tidak mudah berputus asa untuk menaikkan perniagaan kopinya.

"Awal-awal saya buat kopi dalam botol sahaja, kemudian 2022 saya tumpang khemah kedai makan untuk meniaga tepi jalan.

"Pada September 2023, barulah saya dapat menyewa kedai," katanya.

Kini, dia berasa bersyukur mampu memiliki sebuah kedai kopi yang mudah untuk dijejaki ramai pelanggan yang datangnya dari pelbagai pelosok tempat.

"Saya buka kedai di RnR kerana sasaran pemasaran ialah dalam kalangan orang-orang yang tinggal di bandar. Jadinya ramai orang singgah ke tempat itu datang membeli.

"Contohnya saya pernah terima pelancong dari Perancis. Kebanyakan orang yang datang mereka mahu transit ke Kelantan ataupun ke Pahang," katanya.

Adham berkata, dia sangat menitikberatkan kualiti biji kopi yang digunakan untuk memberi aroma dan rasa yang sangat menyelerakan kepada pelanggan.

"Kedai saya tak pakai biji kopi yang sama. Dalam tempoh tiga hingga empat bulan sekali memang akan tukar.

"Kebanyakan biji kopi yang digunakan diimport dari Brazil, Columbia, El Salvador dan Vietnam sebelum ia dipanggang di sini," katanya.

Selain latte, Adham juga mampu menghasilkan kopi pelbagai perisa bagi memberikan pilihan kepada pelanggannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram