[VIDEO] Hector Hernandez disebut sertai JDT, elak ulangi kegagalan 3 nama besar di Harimau Selatan


  • Podium
  • Khamis, 18 Jul 2024

Hernandez dikhabarkan akan menyertai JDT selepas kontraknya tamat pada 1 Julai 2024. — Agensi

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) dilaporkan bakal 'reset' semula pasukan mereka pada Ogos ini apabila mahu melakukan rombakan besar-besaran dengan difahamkan ada pemain sudah melapor diri di Padang Seri Gelam, Johor Bahru, Johor.

Khabar angin berkenaan menerima pelbagai reaksi daripada penyokong berikutan awal tahun ini juga menyaksikan Harimau Selatan sudah membawa enam pemain import untuk jendela perpindahan awal musim ini.

Keputusan Harimau Selatan untuk merekrut pemain baharu itu jelas menunjukkan bahawa JDT masih tidak berpuas hati dengan prestasi semasa walaupun mengekalkan rekod tanpa kalah dalam semua perlawanan setakat ini.

BACA LAGI: Kedudukan Syihan Hazmi tergugat? 'Hint' makin jelas JDT bakal diperkuat penjaga gol warisan Sepanyol

BACA LAGI: Dengarnya 6 pemain baharu sudah lapor diri, ada bintang JDT tunggu masa ditunjukkan jalan keluar menjelang Ogos

Bayangan awal tersebut membuka ruang kepada pelbagai nama pemain dikaitkan dengan JDT dan salah satunya adalah Hector Hernandez selepas satu laporan berita dikeluarkan oleh wartawan SNE Sports, Offeris Wichitchote.

Hernandez, yang kini bermain untuk GD Chaves dalam saingan Liga Portugal 2, dikhabarkan akan menyertai juara bertahan Liga Super itu selepas kontraknya tamat pada 1 Julai 2024.

Pemain berusia 28 tahun yang boleh bermain sebagai pemain sayap atau penyerang tunggal, mempunyai pengalaman luas La Liga dan bakal menjadi pemain kedua termahal dalam Harimau Selatan, bernilai AS$2 juta (RM9.34 juta).

Hernandez mungkin menjadi pemain terbaharu JDT yang mempunyai nama besar dalam arena bola sepak Eropah menyertai Liga Super.

Namun timbul persoalan adakah Hernandez akan mengikuti jejak langkah pemain nama besar lain yang gagal menyerlah bersama JDT.

Majoriti senaraikan tiga nama pemain ternama yang pernah gagal dengan JDT:

1. Harry Novillo

Antara pemain yang pernah beraksi bersama pasukan gergasi Perancis, Olympique Lyon, Harry Novillo kini digelar ejen bebas selepas meninggalkan JDT.

Kini Novillo beraksi bersama FC Coffrane II di liga bawahan Switzerland selepas meninggalkan Frejus-Saint-Raphael FC pada 25 Ogos 2022.

Sepanjang beraksi bersama Frejus-Saint-Raphael, Novillo hanya sempat beraksi sebanyak tujuh perlawanan dan merekodkan 103 minit permainan.

Pemain berusia 32 tahun itu dikenali dengan pakar sepakan percuma namun dia gagal menyesuaikan diri dengan kancah liga bola sepak Malaysia.

Bersama JDT dia hanya sempat melakukan tiga penampilan dan satu gol pada musim 2018.

2. Pablo Aimar

Antara pemain import bertaraf bintang pernah dibawa Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sepanjang bergelar pemilik Johor Darul Takzim (JDT), ialah Pablo Aimar.

Jaringannya ketika menentang Sri Pahang FC antara momen yang tidak akan dilupakan seluruh penyokong bola sepak Malaysia.

Bekas bintang kebangsaan Argentina itu bagaimanapun hanya beraksi sebanyak lapan perlawanan bersama JDT dan sempat menjaringkan dua gol ketika bertemu Pahang dan Lions XII pada 2014.

Selepas itu, Aimar terpaksa meninggalkan Harimau Selatan kerana dipercayai sukar untuk mengekalkan tahap kecergasan sekali gus hanya bertahan selama empat bulan sebelum dilepaskan pada April 2014.

3. Aaron Niguez

Aaron Niguez pernah mendapat sambutan hangat dalam kalangan penyokong bola sepak negara apabila dia merupakan abang kepada bintang tengah Sepanyol, Saul Niguez.

Menyertai JDT pada 2019 daripada kelab Sepanyol, Real Oviedo Niguez gagal menepati jangkaan penyokong bola sepak selepas hanya sempat melakukan tiga penampilan dalam Liga Super.

Pernah beraksi bersama kelab gergasi Sepanyol, Niguez pernah beraksi bersama Valencia CF, Celta de Vigo dan Malaga CF kini pemain berusia 34 tahun itu telah bersara dan mengusahakan akademi bersama adik beradiknya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram