SABAH FC mungkin berada dalam kelompok lima teratas bagi saingan Liga Super namun cerita berbeza buat pasukan pelapis mereka yang kini menghuni tangga terbawah bagi kejohanan Piala MFL 2024/2025.
Bayangkan skuad muda Piala MFL mereka masih belum meraih sebarang mata selepas lima perlawanan beraksi dan hakikat lebih teruk apabila pasukan Borneo tanah air itu hanya menjadi mangsa belasahan pasukan lain.
Hal ini kerana, persembahan benteng pertahanan turut membimbangkan memandangkan skuad Sang Badak sudah dibolosi sebanyak 21 kali dengan terdapatnya jurang besar berbanding pasukan lain.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Bila mahu keluar bos?' Instagram pengarah Sabah FC diserang fans Sang Badak
BACA LAGI: Penutup cerita sedih Ramon Machado, fans Sabah desak pihak pengurusan pula main untuk Sang Badak
Rentetan masalah yang dihadapi oleh Sabah FC II, pihak pengurusan memutuskan untuk menggugurkan Johnny Dominikus daripada jawatannya sebagai pengendali dan digantikan oleh legenda Sang Badak, Alto Linus.
Alto yang sebelum ini merupakan staf kejurulatihan Datuk Ong Kim Swee untuk skuad utama merupakan salah satu pemain berpengalaman Sabah apabila mula menyarung jersi The Rhinos sejak 2010 sehingga 2022.
Pengendali berusia 37 tahun itu berkata, skuad itu perlu bangkit segera dengan memastikan setiap perlawanan mereka dapat mencapai keputusan positif sekali gus memperbaiki kedudukan carta Liga MFL.
Katanya, ketika ini dia terpaksa melakukan banyak ‘kerja rumah’ untuk memastikan Sabah FC II bangkit segera daripada beberapa episod kekalahan menyebabkan dibolosi pada jumlah jaringan yang besar.
“Fokus utama saya kini adalah sudah tentu kepada cara untuk memperbaiki kelemahan, mengenal pasti punca kelemahan serta meningkatkan kematangan corak permainan mereka ketika berada di atas padang.
“Sabah FC II mempunyai banyak potensi cuma mereka perlu bekerja keras untuk terus memperbaiki kesilapan sangat mudah sehingga berada di tangga tercorot liga selepas dibolosi dengan jumlah jaringan yang begitu besar,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.
Alto memberi jaminan bahawa dia akan berusaha untuk menerapkan corak permainan lebih taktikal dan teratur, bagi memastikan setiap kesilapan mudah dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.
Alto kini mendapat kepercayaan mengendali Sabah FC II. — Instagram/SabahFC
“Sabah FC II perlu positif, segera bertindak menukar corak permainan agar setiap perlawanan dilalui akan memperoleh keputusan yang baik berbanding sebelum ini.
“Untuk ke arah itu, semua pemain perlu bekerja keras serta memahami apa objektif pasukan, tidak kira sama ada dalam latihan atau dalam perlawanan sebenar,” katanya.
Sabah FC II dijangka akan menentang Kuala Lumpur City, pada 23 Julai ini, di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Selangor. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram